Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
KUANTAN, 27 OKTOBER 2023 : Program Ziarah Kasih Bekas Wakil Rakyat Negeri Pahang disifatkan sebagai keperihatinan Kerajaan Negeri Pahang kepada mereka yang pernah menabur bakti di negeri ini.
Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku pada 1999 sehingga 2004, YH. Dato’ Haji Abdul Halim Mansor, 71, berkata program ini juga menjadi medium mengeratkan hubungan silaturahim di antara mereka.
“Saya rasa seronok, kerana ini (program) Kerajaan (Negeri Pahang) macam Mubarak, itu NGO (Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan), yang mana Menteri Besar sebagai wakil. Kita seronok kerana sekurang-kurangnya masih ingat.
“Dan kita pun tahu ada Yang Berhormat (di Pahang) yang kita (bekas wakil rakyat) sendiri pun tak tahu. Macam di sebut oleh Yang DiPertua, Loo Kou (bekas ADUN Benus), saya pun tak tahu dia.
“Tapi bila adanya ini (program ziarah kasih) kita akan belek balik rupanya ada orang yang bekas wakil rakyat ni tertinggal,” katanya yang merupakan Pengurus Besar Yayasan Pahang sebelum menjadi wakil rakyat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ziarah Kasih Bekas Wakil Rakyat Negeri Pahang bersama YB. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Hj Mohd Sharkar Haji Shamsudin di Kamar Yang Dipertua di Wisma Sri Pahang hari ini.
Beliau berkata program seperti ini sangat dihargai oleh bekas wakil rakyat dan konsep lawatan sebegini sesuai memandangkan kebanyakan bekas wakil rakyat telah tua dan ada yang tidak sihat.
“Saya rasa seronok kalau perjumpaan begini (dilakukan), tak payah selalu, tak akan setahun sampai tiga empat kali (perjumpaan), at leasr satu tahun sekali ke atau ada hari-hari sambutan.
“Dan katakan ada program buat di Lipis, kita ziarah orang Lipis. Ada sambutan buat di Raub, kita ziarah orang Raub. Kalau kita nak himpun ramai-ramai, berapa orang boleh datang?
“Halangan kesihatan, tak ada pemandu sebab ada yang dah tak boleh nak bawa kereta setengah tu, jadi orang sihatlah pergi melawat orang tak sihat. Jangan orang tak sihat berhimpun satu tempat nak jumpa orang ramai,” kata bapa kepada 10 anak ini.
YH. Dato’ Abdul Halim yang berasal dari Mela sebelum ini merupakan ahli jawatankuasa Barisan Nasional Bahagian Lipis dan Timbalan Ketua UMNO Cawangan Mela, Lipis. -PAHANGMEDIA

