Oleh : Fara Rosli
Foto : Farizul Hafiz Awang
RAUB, 27 OKTOBER 2023 : Kerajaan Pahang dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) komited dalam menyiapkan 270 buah menara telekomunikasi di seluruh negeri ini dalam tempoh yang lebih awal.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, beliau mahu Pahang menjadi negeri peneraju utama dalam pembinaan menara telekomunikasi di negara ini.
“Di Pahang ini kita serius untuk siapkan awal menara-menara telekomunikasi ini dan sehingga kini daripada 270 menara telekomunikasi yang dirancang di seluruh Pahang, 95 menara telah siap dan beroperasi sepenuhnya manakala baki lagi 175 menara sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Menara Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1 Kampung Bukit Telaga antara Theta Telecoms Sdn Bhd kepada Celcomdigi di Kampung Bukit Telaga, di sini hari ini.
Dalam majlis sama, turut diadakan sesi memuktamadkan Kluster 30 melibatkan 18 tapak menara telekomunikasi di bawah Theta Telecoms Sdn Bhd dan diserahkan kepada Celcomdigi.
“Ini bermakna bahawa kesemua 25 menara telekomunikasi di Raub ini strukturnya sudah siap dibina dan akan diserah kepada Part 2 (Celcomdigi) untuk penyambungan teras gentian optik, bekalan elektrik, pemasangan peralatan elektronik sebelum diaktifkan dengan rangkaian 4G.
“25 menara ini melibatkan 12 menara yang telah siap dibina strukturnya dan telah diaktifkan beroperasi sepenuhnya manakala 15 lagi menara sedang dalam peringkat Part 2 sebelum diaktifkan dalam masa terdekat,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, beliau meminta agar semua pihak yang terlibat serta beberapa syarikat-syarikat tertentu termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya sentiasa menunjukkan prestasi dan kerjasama yang baik seperti yang dilaksanakan Theta Telecoms Sdn Bhd dan Celcomdigi.
“Kalau dibandingkan dengan negeri-negeri lain, Pahang agak kedepan, agak laju, tapi saya tengok ada syarikat-syarikat tertentu yang saya belum puas hati dari segi performance, saya harap mereka segera perbaiki kerana banyak lagi menara yang belum diselesaikan.
“Kita nak laksanakan projek ini segera demi manfaat rakyat, jadi janganlah kita lengahkan atau bagi alasan tertentu yang hanya rugikan rakyat itu sendiri,” tegasnya.
Sekurang-kurangnya 24 buah keluarga Orang Asli Kampung Bukit Telaga serta penduduk sekitar mendapat manfaat daripada menara telekomunikasi tersebut. – PAHANGMEDIA

