Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 7 SEPTEMBER 2023 : “Kami tidak akan membenarkan pembangkang mengambil alih Pelangai,” itu kata-kata daripada beberapa ketua kampung yang ditemui ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Cek Kerajaan Negeri yang diadakan di Majlis Perbandaran Bentong (MPB), Bentong.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Chemomoi, Encik Nasarudin Hashim, kerusi DUN Pelangai perlu dipertahankan bagi memberi laluan pembangunan di kawasan tersebut yang telah dirancang oleh Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun sekaligus dapat menjadi hadiah istimewa buat arwah.

“Memang kita perlu pertahankan, kita tidak pernah benarkan pihak pembangkang ambil kawasan itu, kita dah servis kan, mula Menteri Besar lepas tu arwah Dato’ Sri Johari ini, ‘setting’ cukup baik dah, cukup cantik dah, bila tiba PRK ini kita kena pertahankanlah.
“Dapat nikmat itu, bukannya daripada segi orang UMNO yang dapat, keseluruhan Pelangai yang dapat, kalau kita pertahankan, sebab sekarang Menteri Besar kita Naib Presiden UMNO, kita tidak boleh calarkan MB kita dengan kekalahan kali pertama dalam sejarah kalau pembangkang ambil alih kan,” katanya.
Pendapat sama turut diajukan oleh Setiausaha JPKK Kampung Baris Jawi-Jawi, Puan Norimah Kasim yang menyifatkan kepimpinan UMNO di kawasan DUN Pelangai telah menjadi tradisi sejak berpuluh-puluh tahun dulu.

“Kalau ikutkan di Pelangai ini memang kerusi UMNO lah, itu dari segi politiknya dan benda ini memang menjadi pegangan sehingga sekaranglah,” katanya. – PAHANGMEDIA

