Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Najmuddin Zahid
BENTONG, 07 SEPTEMBER 2023 : “Apa yang tak kena, dia suruh complain sampai puas hati,” kongsi Encik Othman Abdul Ghani, penerima Rumah Rakyat Pahang (RRP) Kampung Shafie di sini.
Encik Othman, 59, berkata, Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun berpesan demikian kepadanya ketika menyampaikan kunci rumah berkenaan pada 8 Julai lepas.

“Dia juga pesan suruh jaga rumah ini, jaga anak-anak semua. Dan rumah ini saya akan duduk dengan anak-anak, keluarga saya semua. Saya sebenarnya tak sangka Dato’ datang serahkan kunci, saya tahu dua hari sebelum tu bila Jabatan Pertanian tanya saya tahu tak Dato’ nak datang.
“Dan bila dia datang tu, kita rumah macam ni…arwah Dato’ orang baik, itulah kali terakhir saya jumpa Dato’. Saya rasa banggalah, saya terus datang kemas bila tahu Dato’ nak datang,” kongsinya dalam keadaan sebak.

Menurut Encik Othman yang bekerja sendiri, rumah ini sangat diperlukan kerana dia tidak pernah memiliki kediaman sendiri dan hanya menyewa di banyak tempat sejak dahulu.
“Perasaan tu seronok, bangga, sebab kita tak pernah ada rumah sendiri, dan saya nak ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri terutamanya Menteri Besar dan kepada arwah Dato’.
“Ini rumah pertama dan terakhir yang dia serahkan dan lepas tu dia pergi. Dato’ juga tanam pokok durian belanda dan serahkan tikar getah. Dia ada pesan jaga pokok durian belanda yang dia tanam, dan kalau berbuah nanti, kongsi hasil dengan orang.

“Dato’ juga sempat bergurau, dia kata pokok durian belanda ni mesti hidup, sebab dia orang Janda Baik, tak kan tak pandai tanam pokok,” kongsi bapa kepada lapan anak tersebut.
Allahyarham Dato’ Sri Johari merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai adalah salah seorang mangsa nahas pesawat ringan yang terhempas di Bandar Elmina dalam insiden 2.40 petang 17 Ogos lepas.
Beliau telah menyerahkan kunci Rumah Rakyat Pahang (RRP) pertama di Kampung Shafie tersebut pada 8 Julai lepas selain menyempurnakan gimik penanaman pokok daripada Jabatan Pertanian Daerah Bentong. – PAHANGMEDIA

