Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Najmuddin Zahid
BENTONG, 7 SEPTEMBER 2023 : “Arwah Dato’ macam pengganti arwah ayah sebab arwah mak dan arwah ayah dah tak ada,” itu kongsi Amir Fikri Idros, 24, yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang juga anak yatim piatu
Amir Fikri berkongsi rasa kehilangan Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun yang disifatkan sebagai figura ayah di dalam kehidupannya.
“Arwah bantu saya dari segi pergerakan, bagi kerusi roda (elektrik), dengan bantuan rumah. Dato’ buatkan siling, mozek. Sebelum ni rumah ni atap zink je, pakai tikar getah, rumah kampung, rumah arwah ayah.
“Dato’ orangnya sangat baik dan prihatin kepada orang OKU macam saya. Selalu tanya khabar, selalu tanya saya apa yang saya memerlukan lagi dari segi pergerakkan, barang-barang dapur, makanan.
“Saya dengan Dato’ rapatlah, boleh dikatakan macam pengganti arwah ayah, jadi bila mak dengan ayah dah tak ada, Dato’ Jo (Johari) saya anggap seperti ayah saya sendiri,” kongsinya.
Amir Fikri turut berkongsi kepribadian Allahyarham Dato’ Sri Johari yang gemar membantu penduduk setempat dan orang ramai.
“Dia sentiasa nak menolong orang, bukan setakat saya sahaja, orang lain pun dia akan tolong sebelum dia jadi exco, jadi YB lagi dia tolong rakyat Pelangai,” katanya.
Amir Fikri berkata, Allahyarham Dato’ Sri Johari turut sering bertanya khabar dirinya melalui panggilan telefon mahupun mesej.
“Dari segi contact, ada Whatsapp, call. Dia tanya apa khabar, macam mana kehidupan. Kalau dia ada masa terluang, dia akan call, akan mesej,” kongsinya lagi yang tinggal seorang diri.
Menurut Tok Empat Kampung Hayat, Natharudin Sulaiman, Allahyarham Dato’ Sri Johari telah membaiki keseluruhan rumah didiami Amir Fikri yang uzur bagi memastikan keselesaan pergerakan dan keselamatannya pada penghujung 2021 dengan kos keseluruhan kira-kira RM20,000.
Allahyarham Dato’ Sri Johari juga telah memberikan sumbangan kerusi roda elektrik bernilai RM3,800 dan bantuan barangan dapur kepada Amir Fikri yang kematian ibu pada 2008 dan diikuti kehilangan ayah pada 2016.
Allahyarham Dato’ Sri Johari merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai adalah salah seorang mangsa nahas pesawat ringan yang terhempas di Bandar Elmina dalam insiden 2.40 petang 17 Ogos lepas. -PAHANGMEDIA

