Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Seramai 26,339 individu di Pahang berjaya mendapatkan pekerjaan semula menerusi MYFutureJobs dan inisiatif penempatan pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi tempoh Januari 2023 hingga 6 November 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB Tuan Sim Chon Siang berkata, pencapaian itu merupakan hasil usaha PERKESO dalam membantu pencari kerja kembali ke pasaran pekerjaan menerusi pelbagai perkhidmatan penempatan pekerjaan.
“Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan Yang Mulia ini, dalam konteks perkhidmatan pekerjaan PERKESO, seramai 26,339 individu telah berjaya mendapatkan pekerjaan di negeri Pahang melalui MYFutureJobs dan inisiatif penempatan pekerjaan PERKESO bagi tempoh Januari 2023 hingga 6 November 2026.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 5,739 orang berjaya mendapatkan pekerjaan semula pada tahun 2023, 7,891 orang pada tahun 2024, 7,121 orang pada tahun 2025 dan 5,588 orang bagi tempoh Januari hingga 6 November 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, YB Tuan Ho Chi Yang pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menurut beliau, individu yang kehilangan pekerjaan boleh mendapatkan pelbagai bentuk sokongan menerusi LINDUNG Kerjaya dan perkhidmatan pekerjaan MYFutureJobs, termasuk bantuan kewangan sementara, penempatan pekerjaan baharu serta latihan peningkatan kemahiran.
“Dalam konteks bantuan PERKESO, individu yang dalam transisi pekerjaan di negeri Pahang boleh mendapatkan sokongan melalui LINDUNG Kerjaya dan perkhidmatan pekerjaan MYFutureJobs. Bantuan ini merangkumi sokongan kewangan sementara, bantuan mendapatkan pekerjaan baharu serta latihan peningkatan kemahiran bagi membantu mereka kembali ke pasaran pekerjaan,” katanya.
Katanya, antara bantuan kewangan yang disediakan ialah Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) kepada Orang Berinsurans yang layak bagi tempoh tiga hingga enam bulan, tertakluk kepada syarat kelayakan caruman.
“Orang Berinsurans (OB) yang layak boleh menerima Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) bagi tempoh tiga hingga enam bulan, tertakluk kepada syarat kelayakan caruman. Bantuan ini menyediakan gantian pendapatan sementara sepanjang tempoh pencarian pekerjaan baharu,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan rekod Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO, seramai 1,875 individu direkodkan berada dalam transisi mencari pekerjaan di Pahang bagi tempoh Januari hingga 6 November 2026.
“Berdasarkan rekod transisi pekerjaan yang dilaporkan kepada PERKESO di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), jumlah individu yang direkodkan dalam transisi mencari pekerjaan di negeri Pahang adalah seramai 1,066 orang pada tahun 2023, 1,097 orang pada tahun 2024 dan 1,910 orang pada tahun 2025.
“Manakala bagi tempoh Januari hingga 6 November 2026, seramai 1,875 orang telah direkodkan dalam transisi mencari pekerjaan di negeri Pahang,” katanya.
Sementara itu, jumlah penerima faedah SIP di Pahang turut menunjukkan peningkatan daripada 1,640 orang pada 2023 kepada 2,401 orang pada 2024, 4,023 orang pada 2025 dan 4,229 orang bagi tahun 2026 setakat ini, dengan keseluruhan bayaran faedah berjumlah RM49.68 juta.
“Secara keseluruhannya, jumlah bayaran faedah SIP yang telah disalurkan di negeri Pahang bagi tempoh Januari 2023 hingga kini adalah sebanyak RM49.68 juta. Bantuan ini menyediakan sokongan kewangan sementara kepada Orang Berinsurans yang layak apabila berlaku transisi pekerjaan, di samping membantu mereka mendapatkan pekerjaan semula,” katanya. -PAHANGMEDIA

