Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Lebih 5,000 wanita di Pahang menerima manfaat daripada pelbagai program pemerkasaan wanita yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dalam tempoh setahun bagi meningkatkan penyertaan mereka dalam pembangunan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Hajah Sabariah Saidan berkata, pelaksanaan pelbagai program berkenaan bertujuan memperkukuh potensi wanita dalam pelbagai bidang, sekali gus meningkatkan penglibatan mereka dalam pembangunan komuniti.
“Melalui Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Negeri Pahang (UPWS), pelbagai program dilaksanakan berasaskan Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Pahang yang meliputi aspek kepimpinan, pembangunan ekonomi, kemahiran, kesejahteraan keluarga serta penglibatan wanita dalam komuniti.
“Kita juga mengangkat peserta menjadi wakil untuk komuniti setempat bagi memberi peluang dan ruang kepada wanita di peringkat akar umbi untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan keupayaan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, YB Dato’ Rodzuan Zaaba pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut memperkukuh keupayaan usahawan wanita menerusi penyediaan latihan dalam aspek pemasaran, pengurusan kewangan dan pendigitalan bagi meningkatkan daya saing serta mengembangkan potensi perniagaan mereka.
“Pendekatan ini bertujuan melahirkan lebih ramai wanita yang berdaya saing, berkeyakinan dan berkemahiran untuk terlibat secara aktif dalam proses membuat keputusan serta pembangunan negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA

