Oleh: Syafiqah Jamaluddin
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang mempergiat usaha merancakkan semula sektor pelancongan Sungai Lembing menerusi pelaksanaan sembilan projek pembangunan bernilai RM13.4 juta sejak 2024, susulan penurunan jumlah kedatangan pelancong antara 2023 hingga 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man berkata, pembangunan infrastruktur dan penambahbaikan produk pelancongan menjadi antara strategi utama bagi menarik semula kehadiran pengunjung ke destinasi berkenaan.
“Tidak dapat dinafikan bahawa memang terdapat kemerosotan. Itu sebab Kerajaan Negeri amat mementingkan perkara ini dan pelbagai usaha telah dijalankan, khususnya pembangunan infrastruktur.
“Kita memang amat menanti-nantikan selepas siap terowong ini yang merupakan salah satu tarikan utama untuk Sungai Lembing, ia dapat merancakkan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, YB Tuan Ayub Mat Ashri pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menurutnya, sembilan projek berkenaan dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dengan kerjasama pelbagai agensi, termasuk kerja-kerja membaiki dan menaik taraf terowong lombong Sungai Lembing.
Antara projek yang telah siap ialah kerja menaik taraf kawasan rekreasi Bukit Panorama, penyelenggaraan infrastruktur pelancongan Bukit Panorama, pembangunan tapak Glamping Sungai Lembing dan pemulihan panggung wayang.
Sementara itu, projek yang sedang dilaksanakan termasuk pembaikan terowong lombong Sungai Lembing, pembinaan semula sebahagian kilang pemprosesan bijih timah dan galeri interaktif serta kerja menaik taraf jambatan gantung Sungai Lembing.
Selain itu, lima projek di bawah peruntukan Kampung Baru, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut diluluskan bagi tempoh 2023 hingga 2026 dengan kos sebanyak RM955,000.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut merancang untuk mengemukakan permohonan peruntukan sebanyak RM3 juta menerusi Rancangan Malaysia bagi membangunkan produk ekopelancongan di Sunrise Hill, Air Terjun Pelangi dan kolam air panas.
“Ini bertujuan mempelbagaikan tarikan pelancongan, meningkatkan kemudahan serta menggalakkan pelancong tinggal lebih lama di Sungai Lembing. Potensi aktiviti mencerap bintang dan memerhati burung juga telah dirancang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Kerajaan Negeri turut menggerakkan usaha untuk mewartakan tapak perlombongan Sungai Lembing di bawah Akta Warisan Kebangsaan, selain menyediakan dokumen bagi pencalonan destinasi berkenaan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Sungai Lembing yang dikenali sebagai ‘El Dorado of the East’ merupakan tapak perlombongan bijih timah bawah tanah paling dalam di dunia dan berpotensi untuk diketengahkan sebagai destinasi pelancongan warisan serta ekopelancongan.
Kerajaan Negeri menyasarkan jumlah kedatangan pelancong ke Sungai Lembing meningkat kepada 200,000 orang menjelang 2030, dengan tumpuan bukan sahaja untuk menarik pengunjung bagi lawatan sehari, malah menggalakkan mereka menginap lebih lama di destinasi berkenaan. -PAHANGMEDIA

