Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 26 NOVEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang mengambil pendekatan lebih menyeluruh dalam menangani risiko banjir menerusi perancangan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) yang bakal menjadi rujukan utama bagi setiap pembangunan baharu di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pelaksanaan kajian PISMA penting bagi memastikan sistem saliran negeri dirancang secara lebih sistematik seiring dengan kepesatan pembangunan.
Menurut beliau, pelan induk berkenaan akan menjadi rujukan wajib dalam perancangan pembangunan, khususnya di kawasan bandar, selain dicadangkan untuk dimasukkan dalam Rancangan Tempatan Daerah selepas kajian tersebut disiapkan.
“Kerajaan Negeri telah meminta supaya satu kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) dilaksanakan untuk negeri Pahang.
“Hari ini pembangunan begitu pesat. Sudah tentu kita perlukan satu kajian yang komprehensif, satu pelan induk yang mesti dilaksanakan di seluruh negeri Pahang, terutamanya yang membabitkan bandar-bandar.
“Kita memastikan pelan induk ini menjadi satu rujukan yang wajib bagi setiap pembangunan yang akan dijalankan di seluruh negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, YB Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Kajian PISMA yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pahang bermula pada 23 November 2026 hingga 20 November 2028, melibatkan tempoh dua tahun sebelum hasil kajian dibentangkan kepada Kerajaan Negeri.
Menurut beliau, sebanyak RM5.8 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan longkang bermasalah di seluruh Pahang, manakala bagi kawasan DUN Tras sahaja, sebanyak RM1 juta disediakan menerusi JPS untuk melaksanakan 13 kerja berkaitan.
“Kerajaan Negeri memang memandang serius masalah berkaitan banjir di negeri Pahang dan kita telah memperuntukkan RM5.8 juta untuk memastikan longkang-longkang di seluruh negeri yang bermasalah diselenggara dengan baik, khususnya untuk menghadapi Monsun Timur Laut.
“Bagi Raub pula, Kerajaan Negeri melalui JPS telah melaksanakan kerja-kerja pemeliharaan sungai bagi mengurangkan risiko banjir seperti memperelokkan tebing, mengorek dan pengurusan sungai.
“Bagi tahun 2026, sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan 13 kerja di kawasan DUN Tras sahaja,” katanya.
Menurut beliau, semua kerja berkenaan dilaksanakan sebagai persediaan awal menghadapi Monsun Timur Laut, sekali gus memperlihatkan pendekatan Kerajaan Negeri yang bukan sahaja bertindak selepas bencana berlaku, malah turut memberi tumpuan kepada aspek pencegahan dan kesiapsiagaan.
Pendekatan menerusi PISMA juga penting bagi memastikan isu banjir tidak lagi ditangani secara berasingan mengikut projek atau kawasan, sebaliknya menerusi perancangan sistem saliran yang menyeluruh dengan mengambil kira kuantiti dan kualiti air serta keseluruhan aset saliran sedia ada. -PAHANGMEDIA

