Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 10 OKTOBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sebanyak RM10.28 juta setahun menerusi belanja mengurus bagi memperkukuh perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan awam di negeri ini.
Menurut YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar, perpustakaan memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dan perlu terus berkembang seiring dengan kemajuan teknologi serta keperluan semasa.
“Perpustakaan bukan sekadar tempat menyimpan buku. Perpustakaan mesti menjadi tempat orang datang untuk mencari ilmu, membina kemahiran, berkongsi idea dan membina hubungan sesama masyarakat.

“Kita perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi, automasi, kecerdasan buatan dan perubahan gaya hidup masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Perpustakaan Se-Malaysia Ke-26 di Zenith Hotel Kuantan, selaku wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh; YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Tuan Ahmad Sazilee Abdul Khairi; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Hajah Sabariah Saidan; serta Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan sebanyak RM70,000 kepada Jawatankuasa Penasihat Perpustakaan, termasuk yang melibatkan Perpustakaan Desa Persekutuan.
Katanya, jawatankuasa berkenaan memainkan peranan penting bukan sahaja dalam membantu pembangunan perpustakaan, malah menjadi penghubung antara perpustakaan dengan masyarakat setempat.
Menurut beliau, sebanyak 1,712 aktiviti telah dilaksanakan di perpustakaan di bawah Kerajaan Negeri Pahang sehingga Ogos 2026, merangkumi pelbagai program ilmu, pendidikan, kemasyarakatan dan kekeluargaan.

Pencapaian itu menunjukkan perpustakaan kini bukan sekadar ruang membaca, sebaliknya turut berkembang sebagai pusat aktiviti yang menggalakkan penyertaan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur.
Beliau berkata, Perpustakaan Awam Pahang turut memperkenalkan pendekatan pendidikan dan hiburan (edutainment) serta pelancongan pendidikan (edutourism) bagi menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif kepada pengunjung.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah kerjasama Perpustakaan Awam Pahang dengan Petrosains menerusi penubuhan Petrosains PlaySmart Kuantan yang menawarkan pengalaman pembelajaran berasaskan sains dan teknologi, khususnya kepada generasi muda.
“Hasilnya, sehingga Ogos 2026, Perpustakaan Awam Pahang telah merekodkan sebanyak 1.64 juta kunjungan secara fizikal dan maya.
“Saya kira angka ini cukup membanggakan dan membuktikan bahawa perpustakaan semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat,” katanya. -PAHANGMEDIA

