RAUB, 09 OKTOBER 2026 : Pencemaran serius yang melanda Sungai Gali dan Sungai Lampan di sini sehingga menyebabkan pelbagai spesies ikan mati memerlukan tindakan segera bagi mengenal pasti punca kejadian dan mengelakkan kemusnahan ekosistem sungai.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal berkata, beliau turun meninjau sendiri keadaan kedua-dua sungai berkenaan petang tadi susulan aduan penduduk setempat.

“Hasil tinjauan bersama Majlis Daerah Raub, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Raub serta pihak polis mendapati air sungai berwarna hitam dan berbau, manakala pelbagai spesies ikan ditemukan mati di sepanjang sungai.
“Malah, ikan tilan yang diketahui mempunyai daya tahan tinggi turut menjadi mangsa pencemaran berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya menjalankan siasatan menyeluruh dengan segera bagi mengenal pasti punca sebenar pencemaran dan mengambil tindakan sewajarnya.

Menurutnya, kejadian itu tidak boleh dipandang ringan kerana bukan sahaja menjejaskan ekosistem sungai, malah turut mengganggu kehidupan dan urusan penduduk setempat.
“ Kita tidak mahu isu ini berlarutan sehingga mengakibatkan kemusnahan total terhadap ekosistem sungai serta menyebabkan pencemaran ini merebak ke sungai lain pula. Ini kerana Sungai Gali mengalir ke Sungai Dong,” katanya.
Beliau berkata, langkah pemuliharaan jangka panjang perlu dilaksanakan sebaik sahaja punca pencemaran dikenal pasti bagi memastikan ekosistem sungai dapat dipulihkan.

Tambahnya, tindakan tegas mengikut undang-undang mesti diambil sekiranya siasatan mengesahkan pencemaran berpunca daripada perbuatan pihak tidak bertanggungjawab.
Kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan penduduk setempat perlu dipertahankan agar sungai terus terpelihara daripada kegiatan yang boleh menjejaskan kepentingan awam. -PAHANGMEDIA

