Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 08 OKTOBER 2026 : Penggunaan Al-Quran Braille digital menerusi eBrelle membuka lembaran baharu kepada golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan dalam mendalami pembacaan Al-Quran dengan lebih mudah melalui teknologi.
Bagi Zulkarnain Selamat, 41, yang juga ahli Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Temerloh, penggunaan eBrelle memberikan pengalaman baharu walaupun beliau masih di peringkat awal mempelajari cara mengendalikan peranti berkenaan.
Menurutnya, beliau sudah biasa membaca Al-Quran menggunakan naskhah Braille fizikal, namun penggunaan eBrelle masih memerlukan masa untuk dikuasai sepenuhnya.
“Pada mulanya memang terasa susah, tetapi apabila sudah biasa, kita akan rasa lebih mudah. Cuma, saya masih perlu banyak berlatih kerana ada perkara yang belum saya tahu, termasuk cara menghidupkan dan mematikan peranti serta butang yang perlu ditekan,” katanya.
Zulkarnain berkata, ciri suara pada peranti berkenaan amat membantu pengguna, khususnya mereka yang masih baharu, untuk memahami fungsi dan arahan penggunaan.
“Kalau ada suara, kita boleh tahu butang mana yang perlu ditekan kerana peranti itu akan memberikan arahan. Kalau tiada suara, memang susah sedikit untuk saya menggunakannya,” katanya.
Beliau berkata, proses pembelajaran eBrelle yang disertainya di Pusat Aktiviti PERTIS di Kampung Mambang, Temerloh, diadakan sebanyak lapan hari sebulan dengan bantuan pembimbing.
Walaupun mengakui Al-Quran Braille fizikal masih lebih mudah digunakan buat masa ini, Zulkarnain tidak menolak kemudahan eBrelle yang disifatkannya mempunyai kelebihan tersendiri dan berpotensi memudahkan pembelajaran Al-Quran bagi OKU penglihatan.
Kerajaan Pahang memperuntukkan RM1.2 juta bagi memperkasa pembelajaran Al-Quran Braille menerusi penubuhan Pusat Pembelajaran Al-Quran Braille di lapan lokasi di seluruh negeri.
Peruntukan itu meliputi pelaksanaan kursus, penyediaan kemudahan pembelajaran serta pembelian 60 unit eBrelle bernilai RM10,000 setiap satu. -PAHANGMEDIA

