Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
TEMERLOH, 08 OKTOBER 2026 : Seramai 147 masyarakat Orang Asli Kampung Paya Sendayan menerima dividen sebanyak RM1,200 seorang hasil projek ladang kelapa sawit seluas 600 ekar yang diusahakan di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, peningkatan jumlah dividen berkenaan berbanding tahun-tahun sebelumnya dipercayai didorong pengurusan ladang yang baik serta peningkatan harga pasaran kelapa sawit.
“Sebelum ini mereka menerima dividen sekitar RM700, RM800 hingga RM1,000, namun hari ini setiap peserta menerima RM1,200.
“Kita bersyukur dengan peningkatan ini yang mungkin disebabkan oleh faktor pengurusan dan harga sawit yang meningkat.

“Kita meneruskan tradisi penyampaian dividen kepada penduduk Kampung Orang Asli Paya Sendayan. Di Paya Sendayan ini memiliki sebuah ladang seluas 600 ekar dan ladang ini telah berjaya membuahkan hasil hampir tiga tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Dividen Projek Tanaman Semula Komersial Orang Asli (TSKOA) Paya Sendayan di Dewan Terbuka Kampung Paya Sendayan, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Eksekutif Orang Asli Corporation (ORACO), YH Dato’ Muhammad Olian Abdullah dan Ahli Dewan Negara, YB Senator Tuan Shahrol Wizan Sulong.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan bakul makanan mengandungi barangan keperluan asas kepada 384 keluarga serta bantuan komputer kepada pelajar Orang Asli yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Menurut beliau, bantuan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif Aspirasi Pahang 1st yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam usaha memperkasa pendidikan dan kebajikan rakyat.
“Kita berharap gabungan bantuan yang disalurkan melalui kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Orang Kaya, Pejabat Daerah serta jawatankuasa setempat ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban penduduk kampung,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri akan terus komited membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli di seluruh Pahang, termasuk melalui pembangunan tanah dan pelaksanaan projek ekonomi yang mematuhi peruntukan undang-undang.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan agar tiada pihak mengambil kesempatan terhadap masyarakat Orang Asli, khususnya dalam urusan berkaitan tanah, demi kepentingan atau keuntungan peribadi.
“Kerajaan Negeri akan terus berusaha membantu masyarakat Orang Asli di mana sahaja mereka berada, sama ada di Temerloh, Bera, Chini, Pekan, Rompin mahupun Lipis, selagi bantuan tersebut dapat dilaksanakan mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan,” katanya. -PAHANGMEDIA

