Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
TEMERLOH, 08 OKTOBER 2026 : Pemberian dividen oleh Pahang Orang Asli Corporation (ORACO) memberi kelegaan kepada masyarakat Orang Asli Kampung Paya Sendayan apabila bantuan berkenaan dapat meringankan beban kewangan serta menampung keperluan harian mereka.
Bagi Encik Ghani Binteh, 55, pemberian tersebut amat bermakna kerana dapat membantu keluarganya, khususnya dalam menampung perbelanjaan isi rumah.
“Seronoklah sikit sebab ada pendapatan tambahan dan tidaklah terlalu menyusahkan kami.

“Duit RM1,200 ini boleh guna untuk bayar bil elektrik, bil air dan belanja sekolah anak-anak. Sedikit sebanyak dapat membantu kami sekeluarga.
“Terima kasih Menteri Besar Pahang Tok Wan (Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail) dan Sultan Pahang. Kita orang alhamdulillah ada mereka yang menolong kita. Kadang-kadang kita orang minta mohon rumah, dia bagi rumah dekat kita,” katanya.
Tambahnya, pengurusan ORACO turut memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli, khususnya menerusi pengagihan dividen serta penyaluran bantuan keperluan asas yang dapat meringankan beban kehidupan mereka.
“Sebelum ini bantuan agak susah tetapi dengan pihak ORACO, alhamdulillah keadaan agak baik. Mereka banyak bantu kami dari segi bekalan makanan dan keperluan lain,” katanya.

Sementara itu, Nurnajarina Aliesya A/P Obei, 18, turut melahirkan rasa gembira dan bersyukur selepas menerima bantuan komputer riba yang dapat memudahkan urusan pembelajarannya.
“Saya berasa gembira dan bersyukur kerana tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk membeli komputer riba.
“Bantuan ini dapat memudahkan saya menyiapkan kerja kursus Pengajian Am dan tugasan lain sepanjang pengajian.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan bantuan komputer riba ini. Saya sangat bersyukur kerana ada pihak yang prihatin dan sudi membantu,” katanya. -PAHANGMEDIA

