KUANTAN, 26 SEPTEMBER 2026 : Pahang mahu memperkukuh rantaian industri perikanan negeri dengan memberi tumpuan kepada pemprosesan, teknologi, penyimpanan serta pembangunan produk hiliran berasaskan hasil laut.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, berkata usaha itu antara yang diberi perhatian menerusi lawatan kerja delegasi Pahang ke Vigo, Sepanyol, bagi meninjau perkembangan industri perikanan dan pemprosesan hasil laut di negara berkenaan.

Beliau berkata, lawatan ke Anfaco-Cytma memberi peluang kepada delegasi melihat penerapan penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi pemprosesan serta pemeliharaan hasil laut dalam menghasilkan produk bernilai tambah.
“Kita tidak mahu selama-lamanya hanya menjadi negeri yang membekalkan ikan mentah. Kita mahu hasil laut Pahang diproses di Pahang, diberikan nilai tambah dan seterusnya dipasarkan dalam bentuk produk yang lebih bernilai,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan industri perikanan di Vigo yang membangunkan rantaian lengkap daripada pendaratan, pemprosesan, penyimpanan, pembungkusan dan pemasaran sehingga menghasilkan pelbagai produk hiliran amat relevan untuk diterapkan di Pahang.

Berdasarkan data Jabatan Perikanan Malaysia, pengeluaran perikanan Pahang pada 2025 mencapai 148,968 tan metrik, meningkat berbanding 144,651.73 tan metrik pada 2024, sekali gus menjadi pengeluaran tertinggi di Pantai Timur.
Justeru, katanya, Pahang mempunyai asas kukuh untuk bergerak daripada sekadar pengeluar hasil perikanan mentah kepada negeri yang mampu menghasilkan lebih banyak produk hiliran bernilai tinggi.
Antara potensi yang boleh dibangunkan termasuk makanan sejuk beku, makanan sedia dimakan, produk berasaskan ikan, surimi, makanan dalam tin serta pelbagai produk makanan laut untuk pasaran domestik dan antarabangsa.
“Kita mahu nilai ekonomi daripada hasil laut tidak terhenti di jeti atau pasar, tetapi terus berkembang sepanjang rantaian sehingga memberi manfaat kepada nelayan, pengusaha, usahawan dan industri pemprosesan serta ekonomi negeri,” katanya. – PAHANGMEDIA

