Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 26 SEPTEMBER 2026 : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) berjaya mencipta rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penglibatan paling ramai dalam program Hari Cuci Malaysia 2026 Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Padang MBK 1, di sini hari ini.
Kejayaan itu dicapai menerusi penyertaan seramai 11,884 peserta di 192 lokasi yang berlangsung serentak, membabitkan warga Kuantan serta pelbagai agensi kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan, komuniti setempat dan sukarelawan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pencapaian tersebut membuktikan komitmen tinggi masyarakat dalam menjayakan agenda kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

Katanya, sambutan Hari Cuci Malaysia tahun ini turut menjadi platform menyatukan pelbagai pihak untuk bersama-sama memastikan Kuantan terus bersih, sihat, selamat, indah dan lestari.
“Saya ingin mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga Kuantan yang telah terlibat dalam menjayakan World Clean Up Day 2026 ini.
“Semoga segala usaha kita ini menjadi sebahagian daripada legasi dan amal jariah kebajikan kita untuk kita mewariskan Kuantan yang lebih bersih, lebih sihat, lebih lestari kepada generasi-generasi yang akan datang,,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan hari ini.
Turut hadir Datuk Bandar Kuantan, YH Dato’ Zaliza Zulkipli; Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, YH Dato’ Khairun Nisa Aris serta ketua-ketua jabatan berkaitan.

Program berkenaan turut digabungkan dengan Gotong-royong Mega Perangi Aedes 2.0 Peringkat Negeri Pahang, Program Pakaian Terpakai ‘Berikan Nyawa Kedua’ 2026 serta pelaksanaan zon sifar sampah di Art Street.
YB Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin juga berkata, semangat dan komitmen yang ditunjukkan masyarakat menerusi program berkenaan perlu diteruskan sebagai amalan harian dan tidak terhenti selepas program itu berakhir.
“Sebaliknya teruskanlah setiap hari di rumah, di tempat kerja, di kawasan perumahan, di jalan raya, di taman-taman awam, premis-premis perniagaan di pantai dan di sepanjang sungai kita,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau berkata, jumlah sisa pepejal yang dihasilkan di Kuantan perlu diberi perhatian apabila lebih 100,000 tan sampah dilupuskan sejak Januari hingga Jun tahun ini.
“Bagi daerah Kuantan sahaja, kira-kira 550 tan sampah dihasilkan setiap hari, bersamaan 16,500 tan sebulan dan lebih 200,000 tan setahun yang dihantar ke Pusat Pelupusan Sampah Jerangau – Jabor,” katanya lagi.
Beliau juga mengingatkan kepada masyarakat untuk mengamalkan konsep ekonomi kitaran dengan mengurangkan penggunaan bahan sekali guna, mengasingkan sisa serta memberi ‘nyawa kedua’ kepada pakaian terpakai yang masih elok untuk digunakan semula, disumbangkan atau dikitar semula. -PAHANGMEDIA

