Oleh : Ain Nadhirah Basha
JERANTUT, 26 SEPTEMBER 2026 : Tiga pasangan pengantin Orang Asli antara sembilan pasangan yang diraikan dalam Program Anggun Suri 2026 Peringkat Parlimen Jerantut hari ini.
Pasangan Ardian Shahputra Abdullah, 21, dari Kampung Lubok Wong, dan Memey Assiyana Bahari, 17, dari Kampung Sungai Rengat, turut melahirkan rasa teruja apabila dapat meraikan hari bahagia tanpa perlu menanggung kos yang tinggi.

“Saya gembira dapat jimat banyak kos (untuk majlis perkahwinan). Apa-apa (kos) pun tak perlu keluar, kita keluar pun hanya mas kahwin sahaja.
“Keluarga pun suka, keluarga isteri pun suka. Terima kasih kepada Datuk Seri DiRaja Wan Rosdy untuk majlis ni dan terima kasih banyak-banyak untuk semua yang hadir di hari ini,” katanya.
Menurutnya, dia dan isteri pada awalnya tidak mengetahui mengenai program berkenaan sebelum dimaklumkan oleh wakil rakyat yang membuka peluang kepadanya untuk menyertai majlis ini.
“YB (Yang Berhormat) yang bagi tahu untuk mohon program ini sebenarnya. Kami tak tahu sebenarnya tapi YB yang bagi tahu, ada peluang macam ini apa lagi nak tunggu,” katanya yang bekerja kampung.

Bagi pasangan Sakir Atin,18, dan Nadia Sarul, 16, turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang diatas penganjuran program berkahwin beramai-ramai ini.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri untuk buat majlis macam ni. Jimat sangat, banyak jimat bagi kami. Keluarga pun gembira bila tahu nak masuk program ini.
“Kami tahu program ini dari pejabat agama masa nak daftar kahwin. Mereka (pejabat agama) tolong daftarkan, tolong sampai ke majlis hari ini,” katanya yang berasal dari Kampung Paya Garuk.

Sementara itu, pasangan Nur Majuin Sudin, 20, dan Riko Rosli, 25, berkata majlis seperti ini juga dapat menambah kenalan di mana mereka berkongsi tarikh perkahwinan dengan lapan pasangan pengantin yang lain.
“Rasa seronok dapat kahwin ramai-ramai macam ini. Kos pun jimat. Pejabat agama banyak bantu, bagitahu untuk daftar dan dapat kahwin hari ini,” kata pasangan dari Kampung Orang Asli Sungai Bangkong dan Pos Lemoi, Cameron Highlands ini. -PAHANGMEDIA

