Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 21 SEPTEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menyediakan peruntukan sebanyak RM1.269 juta bagi melaksanakan pelbagai program komuniti permotoran di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, daripada jumlah berkenaan, RM300,000 disalurkan bagi penganjuran Karnival Permotoran No Kroni No Select (NKNS) 4.0 di Temerloh.
“Kerajaan Negeri Pahang turut menyediakan RM1.269 juta bagi program-program komuniti permotoran di seluruh Pahang, termasuk RM300,000 untuk NKNS 4.0 di Temerloh.

“Selepas Temerloh, insya-Allah program permotoran ini akan diteruskan di tiga hingga empat lokasi lain di seluruh Pahang,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang turut menyediakan RM280,000 bagi Program Insurans Kemalangan Motosikal Percuma yang memberi manfaat kepada 14,000 penunggang motosikal di seluruh Pahang.
“Yang menarik, RM280,000 turut disediakan untuk Program Insurans Kemalangan Motosikal Percuma yang akan memberi manfaat kepada 14,000 rider di seluruh Pahang, dengan setiap Parlimen diperuntukkan kuota 1,000 penerima.

“Turut dilancarkan Baju Melayu No Kroni No Select yang bakal berada di pasaran mulai Oktober nanti. Daripada komuniti, kita kembangkan kepada jenama dan peluang ekonomi untuk anak muda,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan bertujuan memastikan minat masyarakat terhadap dunia permotoran dapat dikembangkan menjadi kemahiran yang mampu membuka peluang, sekali gus membantu membina masa depan lebih terjamin.
“Apa yang kita mahu ialah minat dijadikan kemahiran, kemahiran dijadikan peluang, dan peluang dibina menjadi masa depan.
“Paling penting, walau apa pun motor yang kita tunggang, keselamatan dan persaudaraan jangan kita tinggalkan,” katanya. -PAHANGMEDIA

