KUANTAN, 22 SEPTEMBER 2026 : Kerajaan Negeri Pahang meneroka perolehan 100 ekor kerbau tenusu dari Itali bagi menyokong usaha memperkasa Lembah Tenusu Pahang Barat.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, lawatan kerja bersama delegasi Kerajaan Negeri itu memberi tumpuan kepada amalan penternakan, teknologi pemprosesan serta rantaian industri tenusu.
Menurut beliau, kunjungan ke ladang ternakan kerbau tenusu serta kilang pemprosesan produk tenusu Azienda Agricola Tempio Di Barlotti Gianluigi, Salerno, Itali itu bertujuan melihat sendiri pengurusan industri tenusu yang dilaksanakan di Itali.
“Lawatan ini memberi peluang kepada kami melihat sendiri amalan penternakan kerbau tenusu, teknologi pemprosesan serta rantaian industri tenusu yang dilaksanakan di sana,” katanya.

Dalam kunjungan itu, beliau turut mengadakan perbincangan dengan pihak syarikat bagi meneroka kerjasama serta urusan perolehan 100 ekor kerbau tenusu untuk menyokong program pemerkasaan Lembah Tenusu Pahang Barat.
Beliau berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada langkah Kerajaan Negeri untuk memperkukuh industri tenusu di Pahang secara lebih tersusun, moden dan berdaya saing.
“Usaha ini merupakan sebahagian daripada langkah Kerajaan Negeri untuk memperkukuh industri tenusu di Pahang secara lebih tersusun, moden dan berdaya saing, di samping membuka ruang kepada peningkatan pengeluaran produk tenusu tempatan,” katanya.
Katanya, Kerajaan Negeri mahu melihat sektor penternakan Pahang terus berkembang sebagai salah satu pemacu ekonomi negeri, selaras dengan Aspirasi Pahang 1st.
Langkah meneroka teknologi, kepakaran dan kerjasama industri dari Itali itu diharap dapat menyokong usaha memperkukuh rantaian industri tenusu serta meningkatkan kapasiti pengeluaran produk tenusu tempatan.-PAHANGMEDIA

