Oleh: Nur Saadah Artika
KUANTAN, 21 SEPTEMBER 2026 : Bantuan Inisiatif Makmur (IM) Pahang bagi Kluster Agama bukan sahaja membantu pengurusan masjid, malah turut meringankan keperluan pembelajaran pelajar tahfiz di negeri ini.
Pengerusi Masjid Al-Musawwir Kampung Batu Bor, Encik Samsudin Taib berkata, bantuan diterima akan dimanfaatkan bagi menambah baik kemudahan masjid, termasuk sistem siaraya yang kurang berfungsi serta infrastruktur lain yang memerlukan penyelenggaraan.
“Alhamdulillah, kami akan gunakan insentif ini khusus untuk aktiviti dan keperluan masjid. Antara yang perlu diberi perhatian ialah alat siaraya yang kurang elok dan beberapa infrastruktur masjid yang perlu dibaiki.
“Bagi pihak Masjid Al-Musawwir Kampung Batu Bor, saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberikan insentif ini kepada masjid-masjid di Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Ijtimak Ummah Negeri Pahang dan Penyampaian Inisiatif Makmur (IM) Pahang kepada Kluster Agama di Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, UNIQSAAS, Kuantan, malam tadi.
Encik Samsudin yang telah berkhidmat sebagai pengerusi masjid berkenaan selama hampir 10 tahun turut berharap bantuan seumpama itu dapat diteruskan setiap tahun dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Sementara itu, pelajar Tahfiz Ulul Azmi Lil Banat, Awatif Husna Ismadi, 16, berkata bantuan diterimanya akan digunakan bagi menampung keperluan pembelajaran, khususnya pembelian alat tulis.
Pelajar berasal dari Kuala Lumpur itu menyifatkan bantuan berkenaan sebagai satu inisiatif yang menggembirakan dan dapat membantu dirinya meneruskan pengajian dalam bidang tahfiz.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana dapat hadir ke majlis yang besar dan dirahmati Allah SWT ini.
“Insya-Allah, wang ini akan saya gunakan untuk keperluan pelajaran dan membeli alat-alat tulis. Saya berterima kasih kepada Tok Wan Rosdy kerana memberikan bantuan RM100 kepada pelajar tahfiz untuk kami gunakan bagi keperluan kami,” katanya. -PAHANGMEDIA

