Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 01 OGOS 2026 : Kurniaan darjah kebesaran dan pelantikan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Ke-67 disifatkan sebagai satu amanah besar yang menyuntik semangat penerima untuk terus berbakti kepada agama, raja dan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang menerima Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato’ Sri berkata, pengurniaan tersebut menjadi pendorong untuk beliau melaksanakan tanggungjawab dengan lebih baik.
“Saya selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini ingin mengambil kesempatan untuk menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku Sultan Pahang kerana telah berkenan mengurniakan darjah kebesaran SSAP kepada saya.
“Semoga dengan pengiktirafan dan pengurniaan ini akan menjadikan kita semua lebih bersemangat untuk melaksanakan kerja dengan lebih baik demi Negeri Pahang khususnya, insya-Allah.
“Sebagaimana yang kita sedia maklum, setiap pengurniaan dan pengiktirafan itu sudah tentu hadir bersama tanggungjawab yang lebih besar kepada setiap penerima pingat kebesaran pada hari ini,” katanya.

Penerima Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Fadzli Mohamad Kamal menjunjung kasih atas kurniaan yang diterima hari ini.
Menurut beliau, pengurniaan tersebut merupakan satu pengiktirafan, amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dengan sebaik-baiknya, selain berikrar untuk terus mencurahkan khidmat bakti kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku serta Negeri Pahang.
“Patik menjunjung kasih atas kurniaan Tuanku sempena hari keputeraan Tuanku pada hari ini. Ini adalah pengiktirafan untuk diri saya sendiri, satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dengan sebaik-baiknya.
“Patik berikrar untuk terus menumpahkan sepenuh taat setia ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku dan akan terus menjalankan tugas serta amanah dengan sepenuh jiwa dan raga.
“Ada banyak tugas yang perlu diselesaikan. Ini juga satu penghargaan kepada anak-anak muda dan belia kerana saya mewakili golongan tersebut di negeri ini.
“Sudah pasti titah Tuanku tadi akan dijunjung sebaik-baiknya bagi memastikan anak muda dan belia di Negeri Pahang dapat memikul amanah serta tanggungjawab kerana masa depan Negeri Pahang juga bergantung kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata, pengurniaan darjah kebesaran itu hadir bersama amanah dan tanggungjawab yang lebih besar, sekali gus menjadi pembakar semangat untuk terus bekerja keras demi kepentingan rakyat dan negeri.
Sementara itu,
Sementara itu, Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib yang diumumkan sebagai Orang Kaya Indera Shahbandar pada istiadat berkenaan melahirkan ikrar untuk melaksanakan amanah tersebut sebaik mungkin.

“Patik sebenarnya amat terharu dengan anugerah yang diberikan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang. Ini adalah satu amanah besar dan patik berikrar taat setia kepada Tuanku serta akan menjalankan tugas ini sebaik mungkin mengikut keupayaan yang ada..
“Taat setia kepada Tuanku dan juga Negeri Pahang, insya-Allah,” katanya.
Seramai 52 individu menerima darjah dan pingat kebesaran sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah di Istana Abdulaziz hari ini. – PAHANGMEDIA

