Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 01 OGOS 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan keyakinan bahawa Pahang memiliki segala kekuatan untuk terus muncul sebagai negeri unggul dari sudut pembangunan, malah menjadi contoh dalam pelbagai aspek.
Paduka Baginda bertitah kebesaran sesebuah negeri bukan hanya diukur melalui kekayaan hasil bumi, kemajuan ekonomi atau kemegahan pembangunan, sebaliknya terletak pada perpaduan rakyat, kepimpinan berintegriti, penghormatan terhadap undang-undang serta keutuhan mempertahankan kedaulatan negeri.
“Sesungguhnya, sesebuah negeri tidak akan kekal dihormati hanya kerana kekayaan hasil buminya, tidak juga kerana kemegahan bangunannya, bahkan tidak semata-mata kerana kemajuan ekonominya.
“Sebaliknya, sebuah negeri akan terus teguh berdiri apabila rakyatnya bersatu hati, pemimpinnya berintegriti, undang-undangnya dihormati dan kedaulatannya dipertahankan tanpa rasa gentar.
“Beta percaya, bahawa Pahang mempunyai segala kekuatan untuk terus muncul sebagai sebuah negeri yang unggul, bukan sahaja dari sudut pembangunan, malah sebagai negeri yang menjadi contoh dalam mempertahankan keluhuran undang-undang, memelihara khazanah alam, mengangkat martabat agama serta menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut menyeru semua pihak agar bersama-sama meninggalkan negeri yang aman, bersih, dan hijau serta masyarakat yang berbudi bahasa kepada generasi akna datang.
“Beta menyeru, marilah kita bersama-sama meninggalkan kepada anak cucu bukan sekadar jalan raya yang lebih luas, bangunan yang lebih tinggi atau bandar yang lebih moden.
“Tetapi sebuah negeri yang aman, sungai yang bersih, hutan yang menghijau, tanah yang terpelihara, institusi yang dihormati dan masyarakat yang masih kaya dengan adab, budi bahasa serta semangat saling menghormati,” titah baginda.
Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Pesta Kuantan 188, yang diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda setiap tahun.
Menurut baginda, penganjuran program berkenaan bukan sahaja memeriahkan sambutan, malah menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan, merancakkan ekonomi tempatan, mengetengahkan warisan budaya serta mengeratkan hubungan antara Institusi Kesultanan dengan rakyat.
Baginda turut mendoakan agar Pahang terus makmur, diberkati Allah SWT, kukuh dengan perpaduan rakyat, teguh dengan kedaulatan Raja serta sentiasa dilimpahi rahmat sepanjang zaman. -PAHANGMEDIA

