Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Farizul Hafiz Awang
TEMERLOH, 2 OGOS 2026 : Seni persilatan bukan sekadar warisan bangsa yang perlu dipelihara, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan serta pertumbuhan ekonomi Negeri Pahang menerusi penganjuran pelbagai program berteraskan budaya dan warisan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperkasa budaya silat di semua daerah bagi memastikan warisan itu terus dipelihara, di samping menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini.

“Kita akan buat di semua daerah sebab kita nak perkasakan budaya silat dalam kalangan anak-anak muda supaya ini menjadi satu warisan bangsa yang tidak akan dilupakan oleh generasi-generasi akan datang.
“Kalau kita lihat pada data yang ada, jumlah pelancong yang datang ke Negeri Pahang setiap tahun masih meningkat. Kehadiran pelancong juga menyebabkan kadar pengangguran di negeri kita berkurang kalau dulu 2.2 peratus pada tahun 2024 kepada 1.7 peratus, manakala Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri meningkat daripada RM68.7 bilion kepada RM71 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Apresiasi Pahang1st Himpunan 1000 Pendekar Silat Berbusana Daerah Temerloh Parlimen Temerloh 2026 di Dataran Temerloh, hari ini.
Mengulas lanjut, program yang menghimpunkan lebih 2000 pendekar silat itu turut menjadi platform mengangkat sejarah perjuangan tokoh-tokoh pahlawan Negeri Pahang seperti Tok Gajah, Tok Bahaman dan Mat Kilau yang sinonim dengan semangat kepahlawanan serta jati diri masyarakat Melayu.

“Persilatan di Pahang ini terkenal dengan pahlawan-pahlawan terdahulu seperti Tok Gajah, Tok Bahaman, Mat Kilau dan ini juga merupakan warisan bangsa yang juga boleh menarik pelancong untuk datang ke negeri kita,” katanya.
YAB Menteri Besar juga berharap agar lebih ramai anak muda menyertai seni persilatan kerana Negeri Pahang mempunyai tenaga pengajar yang berpengalaman dan berkemahiran tinggi, selain menyifatkan persembahan para pesilat pada program berkenaan mempamerkan semangat, disiplin serta kesungguhan oleh para pesilat.

“Jadi saya berharap lebih ramai lebih ramai anak-anak muda dapat menyertai silat ini kerana kita ada bumbu silat yang cukup terlatih dan saya tengok anak- anak muda begitu yakin menunjukkan seni persilatan mereka dan saya nampak ada kelainan sedikit,” katanya.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri Pahang, YH Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin serta ketua-ketua jabatan. -PAHANGMEDIA

