Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Shahrizar Azdhar
JERANTUT, 19 JUN 2026 : Program Ziarah Kasih Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilaksanakan oleh Dewan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang menjadi medan mengimbau kenangan apabila bekas ADUN Pulau Tawar, Dato’ Nazri Ngah meneliti semula album khas Dewan Negeri Pahang bersama Speaker Dewan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsuddin.
Menurut Dato’ Nazri, antara kenangan yang paling dirinduinya apabila melihat album tersebut ialah gambar rasmi yang menghimpunkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri selepas istiadat perasmian Dewan Negeri oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.
“Apabila melihat gambar-gambar dalam album Dewan Negeri Pahang tadi, saya teringat gambar semua ahli-ahli dewan selepas perasmian oleh Tuanku. Semua ahli dewan dan barisan EXCO bergambar bersama-sama dan saya masih menyimpan gambar tersebut sehingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Program Ziarah Kasih di kediamannya di Jerantut, hari ini.
Mengulas harapannya terhadap generasi kepimpinan masa kini, Dato’ Nazri berharap kestabilan pentadbiran negeri dapat terus dikekalkan demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Saya berharap Pahang akan terus diterajui oleh Barisan Nasional dan Kerajaan Perpaduan. Semoga Barisan Nasional dapat meneruskan penerajuannya di Negeri Pahang kerana itu yang penting,” katanya.
Program Ziarah Kasih yang diketuai oleh Speaker Dewan Negeri Pahang itu bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dengan bekas wakil rakyat di samping mengimbau sejarah serta perjalanan institusi Dewan Negeri Pahang.
Dato’ Nazri merupakan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar bagi penggal 2018 hingga 2022 serta pernah menyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerantut.
Di sebalik helaian album yang dibelek bersama, tersimpan pelbagai kisah perjuangan, persahabatan dan tanggungjawab yang pernah dipikul oleh pemimpin negeri demi rakyat dan kemajuan Pahang. -PAHANGMEDIA

