Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 19 JUN 2026 : Pendidikan tahfiz di negara ini perlu diperkukuhkan menerusi kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan, agensi berkaitan dan golongan ilmuwan bagi melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja menguasai al-Quran, malah berupaya menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, aspirasi itu selari dengan Dasar Tahfiz Negara yang diperkenalkan bagi memperkasakan pendidikan tahfiz secara lebih tersusun dan bersepadu.
Katanya, perkembangan pesat institusi tahfiz di Pahang membuktikan pendidikan berteraskan al-Quran semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
“Maknanya usaha Yayasan Pahang ini sangat mendapat sambutan oleh rakyat di luar sana. Apa yang lebih menarik, dalam masa yang sama wujudnya Maahad Tahfiz persendirian dj Jerantut, di Bentong, di Lanchang, di Bera dan juga di Kuantan.
“Mereka ini pun dah lama, ada yang bahkan sudah puluhan tahun, namun ini satu bukti bahawaaanha desakan semasa sememangnya begitu cerah dan nampak tentang peranan tahfiz bagi melahirkan masyarakat yang benar-benar celik Al-Quran di pentas dunia pada masa kini,” katanya ketika merasmikan Seminar Huffaz Negeri Pahang 2026 di sini hari ini.
Beliau juga berkata, sejarah perkembangan pendidikan negara membuktikan kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap aspek pembangunan ilmu dalam kalangan rakyat, khususnya masyarakat luar bandar.
Ujarnya, usaha Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein memperkenalkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) suatu ketika dahulu berjaya membantu masyarakat Melayu keluar daripada belenggu buta huruf.
“Apabila melihat agensi yang ada di Negeri Pahang dan agensi yang ada di peringkat pusat iaitu KEMAS, kita tidak lagi perlu menumpukan kepada soal buta huruf kerana orang ramai sudah mengenal huruf.
“Maka kita memperkenalkan satu dasar baharu iaitu Dasar Tahfiz Negara dengan mewujudkan kombinasi antara agensi-agensi yang ada di peringkat kerajaan.
“Saya yakin para asatizah mempunyai pemikiran yang lebih cerna daripada saya, sebab itu Kerajaan Negeri boleh bergerak kerana adanya para asatizah dan para ilmuwan yang sangat positif dalam perkara ini,” katanya lagi.
Sementara itu, forum yang berlangsung selama dua jam sempena seminar tersebut menampilkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Datuk Mohd Hanafiah Man; Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia, Tuan Haji Omar Salleh; dan Penasihat Pendidikan Kumpulan Yayasan Pahang, Prof. Datuk Dr. Noriah Mohd Ishak, sebagai ahli panel.
Sesi forum itu dimoderatkan Sesi forum itu dimoderatkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Dato’ Mohd Lafzul Muda Al-Hafiz di mana ia menghimpunkan lebih 250 peserta terdiri daripada mudir, pengetua, pengusaha institusi tahfiz, sekolah agama dan sekolah pondok serta para pendidik dari seluruh negara bagi membincangkan usaha memperkukuh pembangunan pendidikan tahfiz secara menyeluruh.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP), YH Tok Muda Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Haji Ab. Rahman. -PAHANGMEDIA

