Oleh: Nur Saadah Artika
Foto: Shahrizar Azdhar
BENTONG, 19 JUN 2026 : Program Ziarah Kasih yang dianjurkan oleh Dewan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang bukan sahaja menjadi platform menyantuni bekas wakil rakyat, malah berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan pengalaman pemimpin terdahulu dengan generasi kepimpinan masa kini.
Program yang diketuai oleh Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Shamsuddin itu telah mengadakan kunjungan ke kediaman Ahli Parlimen Bentong, YB Puan Young Syefura Othman yang pernah berkhidmat sebagai ADUN Ketari bagi penggal 2018 hingga 2022, selain itu juga menziarahi YH Dato’ Indera Fong Koong Fuee, mantan ADUN Cheka serta Dato’ Dr Ng Keong Chye, mantan ADUN Ketari.
YH Dato’ Indera Fong Koong Fuee yang pernah menyandang jawatan ADUN Cheka selama lima penggal bermula tahun 1995 berkata, program berkenaan mencerminkan keprihatinan Dewan Negeri Pahang terhadap bekas wakil rakyat yang pernah berkhidmat kepada negeri dan masyarakat.

“Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dato’ Sri Speaker yang sangat prihatin kepada bekas-bekas wakil rakyat. Ini adalah satu usaha yang akan sentiasa dihormati oleh semua bekas wakil rakyat,” katanya.
Beliau yang berkhidmat selama 23 tahun sebagai wakil rakyat DUN Cheka berkata, sepanjang tempoh tersebut pelbagai usaha dan projek pembangunan telah dibawa bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat di kawasan berkenaan.
Sementara itu, YB Young Syefura menyifatkan program tersebut sebagai satu inisiatif yang amat baik dalam mengeratkan hubungan antara pemimpin terdahulu dan pemimpin yang masih berkhidmat pada hari ini.
“Ini merupakan program dan inisiatif yang sangat baik daripada Dewan Negeri dan Kerajaan Negeri Pahang kerana ia boleh mengeratkan hubungan antara pemimpin lama dan baharu.
“Mungkin ada yang sudah lama tidak bertemu, dan melalui program seperti ini kami dapat berkongsi kenangan, pengalaman serta mengeratkan hubungan antara mereka yang pernah dan masih berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut mengakui banyak nilai kepimpinan daripada generasi terdahulu yang wajar dicontohi oleh pemimpin masa kini.
“Kepimpinan yang lama ini sangat profesional dan saya ingin mengambil nilai itu untuk diterjemahkan dalam diri saya. Walaupun datang daripada parti yang berbeza, kita boleh mengamalkan sikap saling menghormati antara satu sama lain serta terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.
Bagi Dato’ Dr Ng Keong Chye pula, program Ziarah Kasih ini bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama pemimpin, malah menjadi tanda penghargaan kepada mereka yang pernah menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Saya rasa program ini sangat bagus dan saya sangat berterima kasih kepada Dato’ Sri Speaker kerana sudi datang melawat saya. Ini akan merapatkan hubungan kita dan saya berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau turut berharap Pahang akan terus berkembang sebagai sebuah negeri yang maju, makmur dan aman di bawah kepimpinan kerajaan negeri sedia ada.
Program Ziarah Kasih yang dilaksanakan oleh Dewan Negeri Pahang itu menjadi simbol kesinambungan hubungan antara generasi pemimpin lama dan baharu, sekali gus membuktikan bahawa pengalaman, jasa dan sumbangan tokoh terdahulu terus dihargai sebagai sebahagian daripada sejarah serta pembangunan Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

