Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Teras pertama Belanjawan Pahang 2026 iaitu Memartabatkan Agama Islam, Memelihara Institusi Diraja dan Mengangkat Warisan Budaya merupakan jiwa dan semangat negeri ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, teras ini membentuk keperibadian serta akar jati diri rakyat di negeri ini sejak turun-temurun.
“Teras pertama iaitu Memartabatkan Agama Islam, Memelihara Institusi Diraja dan Mengangkat Warisan Budaya merupakan jiwa dan semangat Pahang, nadi keperibadian rakyatnya serta akar yang membentuk jati diri negeri ini sejak turun-temurun.
“Agama hidup dalam jiwa rakyat, membimbing cara berfikir, memandu keutamaan dasar serta memastikan pembangunan yang dijalankan sentiasa diberkati.
“Di sisi agama, berdirilah Institusi Diraja Pahang dan Daulah Islam yang tetap utuh sejak 555 tahun lalu. Institusi diraja ini bukan sekadar simbol, tetapi payung yang menaungi perpaduan, menjamin kestabilan, mengangkat maruah negeri serta menjadi lambang keluhuran tamadun Negeri Pahang,” katanya.
Tambah beliau, warisan budaya pula merupakan tali pengikat dan nilai pedoman kepada masyarakat Pahang agar tidak hanyut dengan perubahan yang berlaku.
“Warisan budaya pula adalah akar yang menyuburkan tamadun dan membina jati diri kita. Adat resam, bahasa, seni dan sejarah perjuangan nenek moyang menjadi tali pengikat masyarakat agar tidak hanyut oleh arus perubahan tanpa berpaut kepada nilai yang memberi pedoman.
“Atas kesedaran ini, Kerajaan Negeri memilih teras ini sebagai teras pertama Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2026 kerana asas sesebuah negeri bukan terletak pada kemajuan fizikal semata-mata, tetapi pada kekuatan akidah, keluhuran institusi diraja dan kesuburan budaya.
“Inilah tiang seri yang memastikan Negeri Pahang terus megah, berdaulat dan utuh menghadapi masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang hari ini. -PAHANGMEDIA

