Oleh: Norhafizann Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 5 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri memperkenalkan Program Apresiasi Pahang 1st, satu inisiatif baharu sebagai tanda penghargaan kepada rakyat negeri ini atas sokongan berterusan terhadap pembangunan dan kejayaan negeri.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM100 juta bagi menjayakan program itu melalui pelbagai jabatan dan agensi negeri serta badan bukan kerajaan (NGO) terpilih.
“Atas semangat kebersamaan inilah, Kerajaan Negeri bersetuju menambah inisiatif sedia ada dengan memperkenalkan satu program khas iaitu Program Apresiasi Pahang 1st sebagai satu wadah tanda terima kasih, satu jambangan penghargaan yang mengalir kembali kepada rakyat dalam bentuk manfaat yang boleh dirasa, disentuh dan dinikmati semua lapisan masyarakat,” katanya ketika sesi pembentangan Belanjawan Pahang 2026 bersempena pembukaan Mesyuarat Ke-3 Penggal ke-4 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambahnya, pelaksanaan program ini merangkumi manfaat menyeluruh kepada setiap segmen masyarakat melalui lapan komponen utama antaranya, program pembangunan sukan, NGO dan belia seluruh negeri Pahang dengan peruntukan sebanyak RM18.98 juta seperti Program Soccer Kids dan Liga Bola Sepak (RM4 juta).
Selain itu, program itu juga merangkumi program muhibah dan perpaduan seluruh negeri Pahang (RM32.9 juta), antaranya Baucar Hari Perayaan (RM7.4 juta); program bantuan kebajikan kepada ibu tunggal, warga emas, anak yatim, pesakit kronik dan OKU (RM11 juta), antaranya Program Ibu Tunggal Pahang 1st (RM6 juta); dan program pemantapan sektor keterjaminan makanan dan keusahawanan (RM7 juta) dengan salah satu program adalah Pahang Apprentice Nelayan bersama Yayasan Pahang bagi melahirkan nelayan moden dan berdaya saing (RM1 juta).
Program berkenaan juga turut merangkumi program pemerkasaan pendidikan dan syiar Islam (RM16.63 juta) seperti Jejak Aspirasi Pahang 1st Mahasiswa Luar Negara (RM2 juta) pelaksanaan program-program kepimpinan dan kenegaraan dalam kalangan pelajar tingkatan lima oleh Yayasan Pelajaran MARA (YPM) (RM2 juta).
Selain itu, program kesenian, kebudayaan dan warisan (RM5.49 juta) dengan salah satu program adalah Ikon Aspirasi Pahang 1st (RM1 juta) turut termasuk dalam program ini selain program Pahang 1st Job Fair di setiap zon dalam negeri Pahang (RM1 juta) dan peruntukan bantuan pengurangan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Ijazah Pertama anak Pahang yang baru bekerja bermula pada tahun 2025 (RM7 juta). -PAHANGMEDIA

