Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 DISEMBER 2025 : Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM64.54 juta melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) tahun hadapan dalam usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan sekali gus mengurangkan kadar kehilangan air tidak terhasil (NRW) negeri ini.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia juga bagi memastikan bekalan air di seluruh negeri lebih stabil dan berkualiti.
Katanya, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan siling keseluruhan berjumlah RM716.05 juta di bawah Rancangan Negeri Pahang 2026-2030 bagi melaksanakan projek bekalan air termasuk pembinaan infrastruktur baharu dan menaik taraf sistem sedia ada.
“Akses kepada air bersih adalah hak asas rakyat,” katanya ketika sesi pembentangan Belanjawan Pahang 2026 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui PAIP juga meneruskan pelaksanaan Program Air Percuma Pahang 1st yang menawarkan 20 meter padu pertama secara percuma kepada golongan B40 bagi mengurangkan beban bil air bulanan.
“Pada tahun 2025 sebanyak RM4.6 juta telah disediakan. Manakala bagi tahun 2026 pula sebanyak RM7.3 juta atau kenaikan 58.7 peratus akan disediakan yang memberi manfaat kepada 38,000 pengguna,” katanya.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyalurkan RM1.44 juta kepada Badan Kawal Selia Air bagi melaksanakan pembinaan struktur log boom di Empangan Chereh Sungai Lembing, pemasangan sistem pemantauan kualiti air atas talian serta penyelenggaraan kemudahan sedia ada. -PAHANGMEDIA

