Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
RAUB, 17 SEPTEMBER 2025 : Lebih 6,000 pengunjung membanjiri Dataran Raub, di sini bagi memeriahkan Sambutan Hari Malaysia Tahun 2025 peringkat Negeri Pahang malam tadi.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sejajar dengan tema sambutan tahun ini iaitu Malaysia Madani: Rakyat Disantuni, Kerajaan Negeri sentiasa mendahulukan rakyat dalam setiap dasar pembangunan yang dilaksanakan.
Katanya, pelbagai bantuan disediakan oleh Kerajaan Negeri meliputi bayi baru lahir, pelajar sekolah, mahasiswa universiti, pasangan berkahwin sehinggalah kepada warga emas.
“Sebagai contohnya, kita lihat kepada kitaran kehidupan, tidak ada yang tertinggal. Kita mula dengan yang baru lahir dahulu, dapat Pahang Pride. Bila masuk darjah satu, kerajaan negeri bagi bantuan dalam bentuk kewangan.
“Selepas sekolah rendah, sekolah menengah pun Kerajaan Negeri bagi, masuk universiti, ‘one-off’ dapat RM700, tahun kedua sampai habis belajar dapat RM400.
“Habis belajar, kerja, kahwin kali pertama pun Kerajaan Negeri bagi bantuan. Kemudian dapat anak, Kerajaan Negeri bagi lagi untuk anak yang baru dilahirkan,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan berkenaan.
Majlis tersebut turut dihadiri YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan ketua-ketua jabatan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran, selain agensi negeri dan Persekutuan yang bertungkus-lumus menjayakan sambutan tersebut.
“Dan lebih istimewanya saya ucapkan terima kasih kepada orang Raub yang dapat hadir pada malam ini, yang membanjiri Dataran Raub pada malam ini,” katanya lagi.
YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy dalam masa sama turut mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu yang disebarkan di media sosial kerana ia boleh menimbulkan perpecahan.
“Nilailah kerajaan itu dengan persepsi, nilailah dengan fakta. Berpeganglah kepada kebenaran, bukan emosi. Percayalah bahawa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat sentiasa bekerja keras demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Sambutan Hari Malaysia berkenaan diserikan dengan persembahan tarian tradisional pelbagai kaum, deklamasi sajak Kita Anak Merdeka oleh Penerima Anugerah Tun Teja 2024, Amaruszati Noor Rahim serta persembahan artis terkenal tanah air termasuk Hael Husaini, Aweera, Yabang, Achik Asrain, Shida Sidik dan Real XPDC. -PAHANGMEDIA