Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 15 SEPTEMBER 2025 : Orang awam dinasihatkan agar tidak panik atau risau sekiranya melihat pesawat terbang rendah serta mendengar bunyi letupan bermula hari ini sehingga 18 September ini.
Menurut satu kenyataan media oleh Bahagian Perhubungan Awam Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), pesawat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan latihan penerbangan secara taktikal dalam tempoh berkenaan.
“Pesawat-pesawat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terdiri daripada pesawat pejuang, pengangkut, dan helikopter, akan melaksanakan latihan penerbangan secara taktikal bermula pada 15 hingga 18 September 2025 di Pangkalan Udara Kuantan dan sekitar
ruang udara Negeri Pahang.
“Justeru itu, orang awam dinasihatkan agar tidak panik dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat terbang rendah serta terdengar bunyi letupan,” katanya.
Menurut kenyataan berkenaan, latihan yang dijalankan ini adalah bagi pelaksanaan demonstrasi dinamik bagi dua acara yang akan berlangsung selama dua hari bermula 20 September ini di pangkalan tersebut.
“Latihan ini adalah bagi demonstrasi dinamik yang akan dilaksanakan semasa acara!Perbarisan Hari ATM Ke-92 pada 20 September 2025 serta Karnival CIMIC sempena Hari ATM pada 20 dan 21 September 2025 di pangkalan tersebut.
“Demonstrasi dinamik ini akan mempamerkan keupayaan ATM dalam melindungi kedaulatan negara dan melakukan operasi menyelamat tebusan daripada pihak musuh. Semasa demonstrasi tersebut, ia turut melibatkan beberapa letupan,” katanya.
Pihak Tentera Udara Diraja Malaysia
(TUDM) menjemput seluruh rakyat Malaysia bersama hadir memeriahkan sambutan Hari ATM Ke-92 ini yang dibuka kepada orang awam.
“Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ingin menjemput seluruh rakyat Malaysia agar dapat bersama-sama memeriahkan sambutan Hari ATM Ke-92 dengan tema Angkatan Masa Hadapan: Kedaulatan Dijulang, Pertahanan Diperkasa, pada 20 dan 21 September di Pangkalan Udara Kuantan yang dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyaksikan pameran statik aset-aset ATM dan demonstrasi dinamik secara langsung pada tarikh tersebut,” katanya. -PAHANGMEDIA