Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 17 SEPTEMBER 2025: Inisiatif Makmur Pahang (I.M Pahang) Kluster Siswa 2025 simbol kasih sayang dan keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang terhadap masa depan anak-anak negeri ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, bantuan yang telah memasuki tahun keempat pemberiannya ini dilihat dapat membantu mahasiswa dari negeri ini menampung keperluan asas kehidupan di institusi pengajian.

“Untuk Kluster Siswa, bantuan ini sudah memasuki tahun keempat, dan setiap tahun nilainya ditambah baik. Bagi sesetengah orang, mungkin jumlah RM400 ini nampak kecil, tetapi bagi mahasiswa, Tokwan yakin ia boleh menampung keperluan asas kehidupan.
“Lebih penting, ia adalah simbol kasih sayang dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap masa depan anak-anak Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang (I.M Pahang) Kluster Siswa 2025 kepada 98 orang mahasiswa dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai di Swiss-Garden Hotel & Residence, Genting Highlands, hari ini.
Belia turut berkata usaha ini selari dengan gagasan Aspirasi Pahang 1st yang memastikan tiada anak Pahang tercicir dalam pendidikan hanya kerana kekangan kewangan.

“Segala usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen kita dibawah Aspirasi Pahang 1st, iaitu sebuah gagasan besar bagi memastikan rakyat Pahang didahulukan dalam setiap dasar pembangunan.
“Dalam konteks pendidikan, Aspirasi Pahang 1st bermaksud tiada anak Pahang yang tercicir dalam menuntut ilmu hanya kerana kekangan kewangan,” katanya

Dalam pada itu, beliau berpesan kepada mahasiswa agar memanfaatkan peluang dan bantuan yang diterima untuk terus berusaha serta menjadi duta kecil negeri Pahang di mana sahaja mereka menuntut ilmu.
“Kepada anak-anak mahasiswa, Tokwan ingin berpesan, gunakanlah peluang ini untuk menggandakan usaha. Hargailah pengorbanan ibu bapa.
“Jadilah duta kecil Negeri Pahang di mana sahaja anak-anak menuntut ilmu. Ingat, ilmu yang anak-anak pelajari bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga untuk dikongsi dengan masyarakat,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

