Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Shahrizar Adzhar
PEKAN, 13 SEPTEMBER 2025 : Pahang mencatatkan pencapaian membanggakan apabila kadar amalan penyusuan susu ibu dalam tempoh satu jam selepas bersalin meningkat kepada 76.5 peratus melepasi sasaran yang ditetapkan di peringkat kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, berkata peningkatan itu hasil usaha berterusan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) melalui pelbagai kempen kesedaran dan sokongan terhadap penyusuan ibu.
“Saya juga ingin berterima kasih kepada JKNP kerana usaha untuk kempen-kempen untuk penyusuan ibu ini dibuat secara bersungguh-sungguh. Dan kita dapat lihat bahawa hasilnya sudah nampak dari segi peningkatan peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas selesai Majlis Perasmian Minggu Penyusuan Susu Ibu (MPSI) Peringkat Negeri Pahang 2025: Pinktastic Pekan yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, YB. Dato’ Sabariah Saidan dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Saiful Azlan Haji Sharif.
Selain pencapaian kadar 76.5 peratus itu, Pahang turut merekodkan peningkatan kadar bayi berusia enam bulan yang diberi susu ibu sepenuhnya kepada 79 peratus berbanding hanya 61.5 peratus pada tahun 2017.
“Manakala kadar penyusuan sehingga bayi berusia dua tahun pula meningkat kepada 50.6 peratus, berbanding 37.4 peratus pada 2016,” katanya lagi.
MPSI Peringkat Negeri Pahang 2025 yang membawa tema “Utamakan Penyusuan Ibu, Wujudkan Sokongan yang Bermanfaat” menekankan kepentingan penyusuan susu ibu sebagai langkah awal melindungi kesihatan bayi, ibu serta alam sekitar, terutama dalam tempoh 1,000 hari pertama kehidupan.
YB. Dato’ Ir. Razali turut memaklumkan inisiatif bank susu ibu yang dilaksanakan di Pusat Susu Bonda Halimatussaadia di Pusat Kesihatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC@|IUM) Kuantan sebagaimana titah KDPB Tengku Ampuan berpotensi diperluas ke hospital serta klinik kesihatan lain di seluruh negeri.
“Buat masa ini, kerajaan melalui klinik kesihatan dan hospital telah mengambil inisiatif menyokong penyusuan ibu dengan menyediakan tempat penyusuan khas di fasiliti tersebut,” ujarnya.
Inisiatif itu katanya termasuklah Klinik Rakan Bayi di semua klinik kesihatan Kerajaan Negeri Pahang; Hospital Rakan Bayi di 11 hospital kerajaan dan tiga hospital lain; pemeriksaan komuniyi melalui Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu. -PAHANGMEDIA

