Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Shahrizar Adzhar
PEKAN, 13 SEPTEMBER 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli menyempurnakan perasmian Minggu Penyusuan Susu Ibu Peringkat Negeri Pahang 2025: Pinktastic Pekan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda disambut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan dan Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dr Saiful Azlan Haji Sharif.
Dalam majlis berkenaan, Paduka Baginda menzahirkan titah mengenai kepentingan susu ibu serta pemakanan berkhasiat bagi ibu dan bayi bagi memastikan kelancaran proses penyusuan serta menjamin perkembangan kesihatan bayi.
Paduka Baginda dalam masa sama turut menggalakkan agar ibu yang mempunyai susu berlebihan untuk menyumbang ke Pusat Susu Bonda Halimatussaadia di Pusat Kesihatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC@|IUM) Kuantan yang menjadi bank susu patuh syariah pertama negara.

Paduka Baginda dalam majlis berkenaan turut berkenan mengurniakan Anugerah Workplace Breastfeeding Friendly kepada Jabatan Pendaftaran Negeri Daerah Temerloh dan Pengiktirafan Kumpulan Penyusuan Susu Ibu Pahang kepada Puan Asma Moin.
Paduka Baginda kemudiannya turut berkenan mengurniakan hadiah kepada pemenang pertandingan Video Inspirasi dan pertandingan memasak selain berkenan menyempurnakan demontsrasi masakan ibu berpantang yang diadakan bersempena program berkenaan.
Program yang turut mendapat kerjasama rakan strategik Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Daerah Pekan turut diserikan dengan pameran reruai pelbagai agensi berkaitan.-PAHANGMEDIA

