KUANTAN, 20 APRIL 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bersama Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan rasa dukacita dan simpati yang amat mendalam di atas kejadian kebakaran besar di perkampungan atas air Kampung Bahagia, Batu Sapi di Sandakan, Sabah.
Kesultanan Pahang menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan, Paduka Baginda berdua amat tersentuh dengan tragedi yang mengakibatkan kemusnahan besar apabila kira-kira 1,000 buah rumah dilaporkan musnah, sekali gus menjejaskan seramai 9,007 penduduk dalam kejadian tersebut.
Sehubungan itu, Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh mangsa yang terlibat serta berharap agar mereka diberikan kekuatan, ketabahan dan dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi ujian berat ini.
Paduka Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi menyelamat dan bantuan kecemasan, serta berharap agar segala usaha pemulihan dapat dilaksanakan dengan segera demi kebajikan dan kesejahteraan mangsa yang terjejas.
Paduka Baginda berdua juga mendoakan agar semua mangsa sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT serta keadaan kembali pulih seperti sediakala dalam kadar segera.-PAHANGMEDIA
Sumber -KESULTANAN PAHANG

