Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 19 APRIL 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus memperkasa akses pendidikan negeri dengan menyokong penganjuran Karnival Pendidikan MARA (KPM) 2026 yang dilihat sebagai platform penting mendekatkan peluang pengajian tinggi kepada masyarakat akar umbi.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, usaha strategik itu selari dengan keutamaan kerajaan negeri dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada mendapatkan pendidikan berkualiti.

Katanya, karnival yang berlangsung di East Coast Mall (ECM), di sini, itu menghimpunkan 22 agensi pendidikan termasuk institusi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta pihak luar.
“Saya bersyukur hari ini dapat memenuhi undangan pihak MARA Pahang yang menganjurkan karnival pendidikan untuk pelajar-pelajar di negeri Pahang ini.
“Ia lebih fokus kepada pengisian anak-anak yang ingin masuk belajar ke di bawah pengurusan MARA” katanya ketika ditemui selepas merasmikan karnival berkenaan di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Pengarah MARA Negeri Pahanh. Tuan Haji Soffian Haji Mustafa; Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Poly-Tech MARA, Tuan Haji Radzuan Razali; dan Ketua Pegawai Eksekutif German-Malaysian Institute (GMI), Encik Ahmad Solihin Mohamed Yusof.
Tambahnya, pendekatan memperluaskan peluang pendidikan melalui kerjasama pelbagai agensi adalah selari dengan dasar kerajaan Persekutuan yang diterajui YAB. Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Kita bersyukur dulu kita ada IPTA, universiti-universiti awam. Ini adalah satu ruang yang diberi oleh kerajaan.
“Tetapi sekarang ini, oleh kerana orang pun dah ramai, keperluan pun dah semakin bertambah serta permintaan pun dah semakin tinggi, maka kebijaksanaan kerajaan sekarang khususnya di bawah KKDW kepimpinan YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memikirkan dengan lebih luas lagi supaya orang mendapat peluang dan ruang yang lebih banyak.

“Jadi inilah buktinya dibawa ke (peringkat) akar umbi, ke bawah… supaya orang dapat ruang dan terbuka kepada orang lain untuk mendapat maklumat serta input-input yang positif untuk pendidikan anak mereka,”ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan orang ramai untuk mengambil peluang menghadiri karnival berkenaan yang menawarkan pelbagai pilihan kursus termasuk bidang profesional dan kemahiran, selain pendedahan kepada kerjaya menerusi penyertaan pihak industri. -PAHANGMEDIA

