Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 08 OGOS 2025 : “Terima kasih Kerajaan Negeri Pahang sediakan rumah dengan harga berpatutan untuk rakyat Pahang,” kongsi Puan Siti Norsyafiqah yang merupakan pemilik rumah PR1MA Pahang Sri Damai.
Puan Siti Norsyafiqah Ahmad Latfi, 35, berkata dia merasa sangat gembira memilik rumah dengan harga mampu milik pada masa kini yang sangat membantu rakyat di negeri ini untuk memiliki kediaman sendiri.
“Rasa gembira sebab dah lama tunggu, akhirnya dapat rumah sendiri, syukur alhamdulillah. Sebelum ini duduk menyewa di Pekan. Ni nak settle apa patut, lepas tu nak pindah masuk.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang sebab sediakan rumah yang berpatutan untuk rakyat Pahang jadi semua rakyat Pahang boleh menikmatinya.
“Saya rasa amat gembira dapat rumah semi-d dan (harga) bawah RM200,000 sebab sekarang tengok rumah semua harga RM500,000 ke atas jadi saya rasa berbanggalah, dan ia sangat membantu rakyat Pahang nak-nak nak cari rumah sekarang susah. Teirma kasihlah kepada Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.
Sementara itu menurut Encik Zulkifli Ariffin, 40, dia melahirkan rasa gembira kerana memiliki rumah pertama setelah menyewa selama 8 tahun.

“Rasa gembira sangatlah sebab ini rumah pertama setelah 8 tahun menyewa dan ia hadiah buat isteri saya. Saya mohon rumah ni waktu saya bujang, sekarang alhamdulillah rezeki saya dengan isteri dapat rumah ini.
“Ini hadiah paling besar saya bagi untuk dia. Kami rancang akan masuk hujung tahun ini selepas siap semua renovation, pasang grille.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri lebih-lebih lagi kepada Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy serta exco-exco Negeri Pahang, tidak lupa juga Dato’ Islanizam,” katanya.

Sebanyak 196 unit Perumahan berkembar PR1MA Pahang telah diserahkan kepada pemilik rumah pada Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Sri Damai hari ini oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau dalam majlis sama turut melancarkan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang Pandan melibatkan dua fasa melibatkan 224 unit bagi fasa 1 dan 42 unit bagi fasa 2, manakala sebanyak 110 unit rumah berkembar PR1MA Pahang akan dibina di PR1MA Pahang Sungai Soi. -PAHANGMEDIA

