Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 8 OGOS 2025 : Seramai 246 peneroka dari beberapa rancangan FELDA sekitar daerah ini hari ini menerima Suratan Hak Milik Tanah masing-masing dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan SMK Lepar Hilir.
Daripada jumlah itu, 157 peneroka terdiri daripada FELDA Lepar Hilir 4; 51 peneroka FELDA Lepar Hilir 1; empat peneroka dari FELDA Lepar Hilir 3; 21 peneroka dari FELDA Bukit Sagu 1; sembilan peneroka dari FELDA Bukit Sagu 2; dan empat peneroka dari FELDA Bukit Sagu 3.

Suratan hak milik tanah berkenaan disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam, Ahli Parlimen Paya Besar, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah serta barisan pimpinan setempat.
Dalam ucapannya, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy merakamkan ucapan tahniah kepada semua peneroka yang akhirnya menerima hak milik tanah selepas menanti lebih 40 tahun.

“Pertama sekali saya nak ucapkan tahniah kerana tuan-tuan dan puan-puan pada hari ini mendapat hak milik tanah. Tuan-tuan dah menunggu 40 tahun, hari ini menjadi kenyataan,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri komited untuk menyelesaikan baki empat peratus peneroka yang masih belum menerima geran hak milik selewat-lewatnya tahun ini.
“Daripada 43,126 peneroka di Pahang ini, kita dah bagi lebih kurang 96 peratus. Dan hasrat Kerajaan Negeri, kita nak jadikan 96 peratus itu 100 peratus,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa proses penyerahan hak milik tanah ini tidak dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya menuntut komitmen tinggi daripada semua pihak.
“Tetapi soal tanah ini kita tidak boleh bagi begitu sahaja. Dia kena ada ukur kasar, kena ada ukur halus, kena pergi tengok tempat itu, lepas itu luasnya pula… Tenaganya ramai.
“Dan saya memang mendesak FELDA supaya segerakan urusan tanah ini sebab tanah ini adalah pemberian Kerajaan Negeri kepada tuan-tuan dan puan-puan. Itu memang hasrat kita,”katanya lagi.
Sebagai rekod, Negeri Pahang merupakan negeri yang mempunyai rancangan FELDA terbanyak negara dengan 115 rancangan yang meliputi tiga wilayah utama iaitu Wilayah Kuantan dengan 42 rancangan, Wilayah Jengka dengan 37 rancangan dan Wilayah Mempaga dengan 36 rancangan melibatkan lebih 43,126 peneroka yang mengusahakan kira-kira 202,000 hektar tanah. -PAHANGMEDIA

