Oleh : Ain Nadhirah Basha
ROMPIN, 12 JULAI 2025 : Program Pemerkasaan Wanita merupakan platform untuk menyokong serta memudahkan wanita mengembangkan potensi terutamanya dalam bidang perniagaan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, program ini meliputi pembangunan usahawan, pembangunan bisnes serta kemudahan sokongan.
“Program Pemerkasaan Wanita ini dilaksanakan dengan matlamat utama untuk memperkasa wanita dalam pelbagai aspek kehidupan, khususnya dalam dunia keusahawanan.

“lanya adalah salah satu inisiatif dibawah program National Training Week (NTW). Program yang menyediakan platform untuk menyokong serta memudahkan wanita bagi mengembangkan potensi mereka, mengasah kemahiran, dan membina rangkaian yang berguna dalam perniagaan.
“Objektif perlaksanaan program ini adalah bertujuan untuk memberikan input berkaitan Ekosistem Keusahawanan MARA yang meliputi pembangunan usahawan, pembangunan bisnes serta kemudahan sokongan,” katanya.
Beliau berkata program pemerkasaan wanita ini dianjurkan khas bagi memberi pendedahan terutamanya kepada wanita luar bandar dalam bidang keusahawanan.

“Inisiatif ini diambil dalam usaha mencapai keseimbangan dan kemajuan yang inklusif kepada wanita terutamanya usahawan.
“Wanita memainkan peranan yang sangat penting dalam dunia keusahawanan. Mereka bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi juga membawa perspektif dan inovasi yang segar,” katanya.
Beliau turut melahirkan harapan usahawan wanita di Negeri Pahang dapat memanfaatkan peluang yang ada untuk menjadi usahawan yang berjaya dan berdaya saing.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Pemerkasaan Wanita 2025 Rompin anjuran Pejabat MARA Negeri Pahang dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Rompin. -PAHANGMEDIA

