Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 11 JULAI 2025 : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang telah berjaya merampas gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM621,887 di Bentong.
Menurut satu kenyataan media oleh Pengarahnya, Puan Jezliky Jamaluddin, rampasan berkenaan melibatkan keseluruhan 1,105 tong gas LPG 12 kilogram, 14 kilogram, dan 50 kilogram.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang telah menjalankan satu operasi penguatkuasaan khas di bawah OPS GASAK 2025 terhadap sebuah premis perniagaan yang disyaki menjalankan aktiviti menjual gas petroleum cecair (LPG) secara borong tanpa lesen yang sah.
“Operasi yang dijalankan pada 10 Julai 2025 di Jalan Manchis, Bentong melibatkan seramai tujuh anggota penguat kuasa KPDN Pahang. Operasi ini merupakan hasil daripada risikan yang telah dijalankan selama sebulan terhadap premis berkenaan. Turut ditemui di kawasan premis ialah tiga buah motolor yang membawa muatan LPG, dipercayai untuk tujuan penghantaran atau penyimpanan.
“Sitaan keseluruhan LPG dianggarkan bernilai RM621,887. Daripada jumlah tersebut, muatan LPG yang disita dianggarkan bernilai RM171,687 , manakala tiga buah motolori yang terlibat turut disita dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM450,200,” katanya.
Menurut beliau, lesen borong LPG milik premis berkenaan telah pun tamat tempoh berdasarkan dokumen yang dikemukakan dan pihaknya juga mendapati muatan LPG yang dirampas telah dialih ke permis berbeza daripada alamat dikemukakan.
“Berdasarkan dokumen yang dikemukakan, lesen borong LPG milik premis berkenaanntelah tamat tempoh, sekali gus menimbulkan syak wajar wujudnya pelanggaran undang-undang di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu menjual secara borong barang kawalan tanpa lesen yang sah.
“Dan Seksyen 20(1), Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu mengalih barang kawalan dari lokasi berlesen ke lokasi tidak berlesen.
“Selain itu, siasatan awal juga mendapati muatan LPG sepatutnya dihantar ke premis lain di Mentakab, namun telah dialih ke premis yang berbeza daripada alamat yang dinyatakan dalam invois,”katanya.
Menurut beliau, pihak Kementerian tidak akan berkompromi terhadap pihak yang melanggar peruntukan undang-undang dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan pengguna dan kestabilan rantaian bekalan di pasaran.
“Dalam usaha memperkukuh inisiatif KITA GEMPUR, KPDN Pahang ingin menegaskan bahawa pihak Kementerian tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau syarikat yang melanggar peruntukan undang-undang berkaitan barang kawalan seperti LPG.
“Tindakan tegas akan diambil demi memastikan keselamatan pengguna dan kestabilan rantaian bekalan di pasaran. Sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga, khususnya yang melibatkan penyelewengan atau pelanggaran perundangan berkaitan barang kawalan, boleh dilaporkan oleh orang awam melalui pelbagai saluran aduan rasmi KPDN,” katanya. -PAHANGMEDIA

