Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Farizul Hafiz Awang
BENTONG, 12 JULAI 2025: Kerajaan Negeri Pahang komited dalam memperkasakan pembangunan infrastruktur dan ekonomi di sekitar tujuh stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang dibina di negeri itu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim, perancangan pembangunan bagi setiap stesen yang merangkumi pelbagai sektor bergantung kepada kesesuaian dan potensi kawasan masing-masing.
“Kita diperingkat Kejaraan Negeri ini, menganbil tahu tentang progress ini. Sekarang ini memang kita dah merancang pembangunan di tujuh stesen yang ada di Negeri Pahang.
“Dia(stesen) meliputi dari segi pendapatan komersial, industri, institusi. Pelbagai sektor ada mengikut kesesuaian stesen-stesen tersebut,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa tahap kemajuan pembinaan bagi setiap stesen ECRL di negeri Pahang pada masa ini adalah berbeza-beza, berdasarkan pemerhatiannya semasa lawatan tapak yang dilakukan kira-kira dua minggu lalu.
“Dua minggu lepas, saya ada buat lawatan bersama Menteri Besar ke stesen KotaSAS dan dah hampir 70 peratus (kemajuan),” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak ECRL kerana memberi perhatian serius terhadap aspek pemeliharaan alam sekitar dalam pelaksanaan projek tersebut di Pahang.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada ECRL kerana mengambil kira tentang pemeliharaan alam sekitar. Kalau kita tengok tadi pun di Pahang sahaja kita ada 32 terowong.
“Asalnya kalau kita tak ada terowong, kita terpaksa buat penebangan hutan hampir 2,000 hektar, tapi dengan adanya terowong ini hanya 276 hektar sahaja.
“Selain daripada itu juga, kita ada 27 Animal Crossing (Jambatan Hidupan Liar) untuk memastikan kehidupan alam sekitar ini terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail selepas Majlis Penembusan Terowong ECRL Genting di Terowong ECRL Genting, Bentong, yang dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, YB. Anthony Loke Siew Fook.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.-PAHANGMEDIA

