Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 17 JUN 2025 : Kerajaan Negeri Pahang terus memacu transformasi digital dan pembangunan tenaga boleh diperbaharui melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib menegaskan bahawa teknologi kecerdasan buatan (AI) kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan dalam sektor industri bagi mendepani cabaran automasi, analitik pintar dan peningkatan kecekapan membuat keputusan.

“Teknologi AI kini bukan lagi bersifat pilihan, tetapi suatu keperluan. Maka, melalui pelaksanaan program ini, kita berharap sektor industri dan pembuatan di Negeri Pahang dapat diperkasa dan dipacu ke tahap yang lebih tinggi.
“Di peringkat negeri, Kerajaan Negeri Pahang telah mula merangka dan melaksanakan beberapa inisiatif penting dalam pelaksanaan kecerdasan buatan (AI) sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk merangsang transformasi digital, memperkukuh sektor ekonomi serta meningkatkan kualiti perkhidmatan awam dan kehidupan rakyat,” katanya.
Menurut beliau Kerajaan Negeri Pahang akan mewujudkan Zon Teknologi Tinggi Pahang khusus untuk menarik kemasukan syarikat berasaskan AI , automasi dan data besar (big data) sebagai langkah strategik merancakkan pelaburan berteknologi tinggi di negeri ini.

“Bagi menarik pelabur, kerajaan akan mewujudkan Zon Teknologi Tinggi Pahang khusus untuk syarikat-syarikat AI, automasi dan data besar.
“Insentif khas juga disediakan melalui Pahang Invest untuk menarik syarikat berteknologi tinggi menubuhkan pusat operasi di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program AI for Productivity Transformation dan Majlis Penutupan Program SPEED GCPV anjuran bersama Pahang Skills, MPC, Yayasan Peneraju dan PKNP di Dewan Utama Pahang Skills Development Centre, di sini hari ini. -PAHANGMEDIA

