Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN , 18 JUN 2025 : Persidangan Pengetua-Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran merupakan platform membentuk halatuju pendidikan Quran yang lebih holistik dan dinamik serta relevan dengan masa kini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, persidangan ini juga menjadi medan menyatukan fikrah dan dapat memantapkan pengurusan institusi tahfiz di negara ini.

“Mudah-mudahan ia bukan sahaja mengeratkan silaturahim di antara kita para pengusaha maahad-maahad tahfiz di seluruh negara bahkan sudah pasti bakal mencetuskan satu semangat perjuangan yang sentiasa membina pembaharuan demi pembaharuan dalam memastikan pendidikan tahfiz anak-anak kita terus cemerlang seperti sewajarnya.
“Sudah tentu dengan adanya persidangan ini, ia memberi semangat kepada maahad tahfiz untuk terus mengorak langkah sebagaimana kita menzahirkan anak-anak didik yang benar-benar cemerlang di dalam pembelajaran mereka,” katanya.
Beliau berkata sambutan menggalakan juga turut diterima dalam pendidikan tahfiz di negeri dalam bagi memastikan aliran pendidikan ini subur dalam generasi akan datang.
“Kita bersyukur ke hadrat ilahi apabila percambahan demi percambahan bermula dengan terbinanya Maahad Tahfiz Kerajaan Negeri Pahang sebelum ini dan terzahirnya juga pelbagai tahfiz di peringkat rendah, sama ada tadika, sekolah rendah, dan jurusan-jurusan yang berbeza.
“Kita tidak melihat institusi tahfiz hanya sebagai tempat menghafaz al-Quran, tetapi sebagai pusat melahirkan insan rabbani yang seimbang dari segi rohani, intelek dan akhlak, yang bakal menjadi pemimpin masyarakat madani pada masa hadapan,” katanya.

Tambah beliau, pemerkasaan institusi tahfiz juga merupakan usaha strategik dalam tempoh jangka panjang bagi membentuk jati diri bangsa dan negara.
“Dalam era globalisasi dan digitalisasi yang kompleks ini, pendidikan tahfiz menjadi benteng utama dalam membina masyarakat yang kuat dari segi spiritual dan moral.
“Institusi tahfiz tidak hanya melahirkan para penghafaz al-Quran, tetapi juga membentuk ejen perubahan yang mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara iaitu sebagai guru, pemimpin, profesional, dan usahawan yang berlandaskan nilai-nilai Islam.
“Lebih besar lagi, pendidikan tahfiz ialah cerminan kepada pelaksanaan Maqasid Syariah, khususnya dalam memelihara agama, akal, keturunan dan harta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Pengetua-Pengetua Maahad Tahfiz al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke-43 di Swiss-Belhotel.
Turut hadir, Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang, YAA. Dato’ Abdul Walid Abu Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YH. Dato’ Ahmad Hairi Hussain; dan Naib Censelor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS), YH. Professor Madya Dato’ Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin. -PAHANGMEDIA

