Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 17 JUN 2025 : Hasrat dua beradik Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menggantikan kad pengenalan mereka yang rosak tercapai setelah Kerajaan Negeri Pahang membawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pahang ke rumah mereka.
Kedua-dua mereka, Mariani Hamid, 45, dan adiknya Mohd Hatta Hamid, 40, kini tinggal bersama kakak mereka di Kampung Alor Batu setelah kematian kedua ibu bapa mereka.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Hajah Sabariah Saidan, kedua-dua beradik ini mempunyai masalah kecacatan mental dan fizikal yang menyukarkan keluarga untuk membawa mereka memperbaharui MyKad mereka.
“Hari ini kita bersama Ketua Pengarah JPN ke Kampung Alor Batu untuk membantu dan menyelesaikan masalah dua adik-beradik OKU yang ingin menggantikan kad pengenalan yang dah lama rosak.
“Kita dibantu pihak JPN, buat semua proses dari ambil gambar sehingga serahkan kad pengenalan terus kepada mereka di sini, di rumah mereka, dan alhamdulillah semuanya dapat selesaikan,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang melalui Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Negeri Pahang sentiasa bergerak bagi memastikan masalah yang dihadapi masyarakat di negeri ini dapat diberikan perhatian sewajarnya.
“Macam kes ini kita dapat tahu daripada keluarga mereka sendiri, di mana melalui Unit Wanita yang sentiasa menziarahi orang kampung, Ziarah Kasih, dan mengambil tahu masalah yang berlaku.
“Masalah ini bukan sahaja masalah kad pengenalan tetapi apa sahaja masalah yang timbul, kita akan bawa ke tengah dan cari jalan penyelesaian.

“Kita juga ada AnggunCare yang membolehkan pengadu untuk call sahaja talian dan tidak perlu untuk datang ke kaunter. AnggunCare ini berfungsi untul menyalurkan permasalahan yang diutarakan ke saluran yang terlibat. Ini memudahkan mereka yang tinggal jauh, tiada kenderaan untuk sampaikan aduan mereka,” katanya.
Tambah beliau lagi, jika orang ramai mempunyai aduan atau masalah berkaitan wanita dan keluarga, mereka juga boleh berhubung secara terus ke Kaunter Aduanita Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Negeri Pahang di talian 09-5124043.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), YBhg. Tuan Badrul Hisham Alias; dan Pengarah JPN Negeri Pahang, YBrs. Encik Mohammad Abdullah. -PAHANGMEDIA

