Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 9 APRIL 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan mengurniakan Suratcara Pengisytiharan Pelantikan dan menyaksikan Ikrar Taat Setia YB. Setiausaha Kerajaan Pahang baharu, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, hari ini.
Majlis yang berlangsung dengan penuh istiadat itu diadakan bertempat di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, di sini.
Paduka Baginda turut berkenanan mengurniakan Suratcara Pengisytiharan Perlantikan dan menyaksikan Ikrar Taat Setia YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang baharu, Dato’ Haji Fadzilla Salleh.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta YAM Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Majlis turut dihadiri, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri, Ahli Jumaah Pangkuan Diraja Negeri dan ketua-ketua jabatan.
Paduka Baginda bertitah, pelantikan berkenaan bukan sahaja satu penghormatan, tetapi juga satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi, keikhlasan dan tanggungjawab.
“Dalam pada masa yang sama, pelantikan ini tidak dilihat sebagai satu keistimewaan semata-mata, tetapi sebagai satu tanggungjawab yang besar dan mulia.

“Kedudukan yang disandang adalah lambang kepercayaan, bukan sahaja daripada pihak pentadbiran negeri tetapi juga daripada rakyat jelata yang meletakkan harapan tinggi kepada kewibawaan dan kebijaksanaan para pemimpin negeri ini,” titah Paduka Baginda.
Al-Sultan Abdullah dalam titahnya turut menaruh keyakinan dengan pelantikan baharu berkenaan akan membawa Negeri Pahang terus melangkah maju sebagai sebuah negeri yang berdaya saing, stabil dan sejahtera.
“Jadilah pemimpin yang bukan sahaja cekap, tetapi juga berjiwa besar, rendah hati, dan menjunjung tinggi nilai integriti dalam setiap tindakan.
“Berbaktilah dengan jujur, bertindaklah dengan adil, dan sentiasalah meletakkan kepentingan rakyat dan negeri mengatasi segala yang lain,” titah Paduka Baginda lagi. -PAHANGMEDIA

