Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 09 APRIL 2025 : Kebun pokok durian haram yang ditebang dalam satu operasi dijalankan oleh penguatkuasa Kerajaan Negeri di Sungai Ruan, Raub semalam tidak terikat dengan mana-mana perintah mahkamah.
YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin berkata, dakwaan pihak Save Musang King Alliance (SAMKA) yang mengatakan pihak Kerajaan Negeri telah melanggar perintah mahkamah sama sekali tidak benar.
Katanya, tidak berlaku sebarang pelanggaran perintah mahkamah berhubung tindakan menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King berkenaan.

“Tak betul (dakwaan) itu. Permohonan mereka di Mahkamah Tinggi sebelum ini telah ditolak dan telah dibawa ke Mahkamah rayuan dan sekali lagi juga telah ditolak.
“Jadi tanah tersebut adalah tanah hak milik Kerajaan dan bergantung sepenuhnya atas Kerajaan Negeri untuk mengambil tindakan bagaimana sekali pun,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Dato’ Sri Saiful Edris lagi, Kerajaan Negeri juga tidak mempunyai masalah sekiranya pihak SAMKA mahu mengambil tindakan undang-undang berkaitan perkara terbabit.
“Perlu kita jelaskan bahawa tanah berkenaan sememangnya tanah milik Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri boleh mengambil tindakan yang sepatutnya ke atas pendudukan haram tanah terbabit.

“Mereka yang menduduki tanah itu secara haram langsung tidak ada hak ke atas tanah tersebut. Kita tidak ada masalah dan sentiasa bersedia sekiranya pihak berkenaan mahu membawa perkara ini ke mahkamah,” ujarnya lagi.
Terdahulu dalam satu liputan media sebuah portal memberitahu, sekumpulan pekebun durian haram yang terlibat dalam pertikaian tanah dengan kerajaan Pahang mendakwa pihak kerajaan melanggar perintah mahkamah apabila menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King.
SAMKA mendakwa anggota Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang bersama kakitangan Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah serta polis telah masuk ke kebun durian di Sungai Ruan, Raub sekitar jam 11 pagi semalam untuk menebang pokok-pokok berkenaan. -PAHANGMEDIA

