Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 09 MAC 2025 : Semangat perpaduan dan keharmonian yang ditunjukkan menerusi Program Gerak Rahmah : Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Pahang 2025 yang berlangsung di Dataran Santuari Tanjung Gahai, di sini, menyatukan masyarakat berbilang kaum di daerah dan negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penglibatan pelbagai kaum dalam program berkenaan membuktikan kekuatan perpaduan di negeri dan negara ini secara keseluruhannya.

“Dan apa yang paling menggembirakan saya ialah penyertaan masyarakat pelbagai kaum. Ini menunjukkan bahawa kekuatan utama negara kita adalah perpaduan.
“Bubur lambuk yang merupakan masakan tradisional Melayu turut digemari oleh kaum lain. Sebagai contoh, saya bertemu dengan masyarakat India yang menyatakan mereka sangat menyukai bubur lambuk ini,” katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian program berkenaan, di sini, hari ini.
Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi, Dato’ Haji Che Roslan Che Daud.

YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menekankan bahawa isu hangat berkaitan perpaduan yang timbul sebelum ini hanyalah melibatkan segelintir pihak dan tidak mencerminkan keharmonian rakyat Malaysia secara keseluruhan.
“Sebab itu saya telah memuatnaik (kenyataan) di media sosial saya, pemimpin seharusnya menjadi pendamai, bukan menjadi pembakar… pencetus kepada keadaan yang lebih teruk lagi.
“Kita tidak mahu tragedi 13 Mei berulang lagi. Kita kena ‘move on’, kena tengok ke depan. Kita nak menjadi negara maju dan kita nak semua berkongsi rezeki di negara kita ini,” ujarnya.
Sementara itu, program yang berlangsung secara serentak di seluruh Pahang pada 8 dan 9 Mac itu melibatkan lebih 270 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan menyaksikan pengagihan lebih 42,300 bekas bubur lambuk kepada masyarakat. -PAHANGMEDIA

