Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 9 MAC 2025 : Pembinaan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sementara di Lingkaran Tengah Utama (LTU) dijangka akan selesai seminggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan R&R sementara itu dijangka di dua atau tiga lokasi sepanjang laluan LTU antara Bentong ke Gua Musang, Kelantan.
Katanya, pembinaan R&R berkenaan melibatkan kos sekitar RM2.5 juta.
“Itu R&R sementara yang kita akan buat. InsyaAllah seminggu sebelum raya akan siap. Itu yang dimaklumkan kepada saya.
“(R&R) sementara bukan permanent (tetap). Kos lebih kurang RM2.5 juta… akan dibuat sepanjang Bentong sehingga Gua Musang sepanjang 300 kilometer. Dua ke tiga tempat akan dibina,” katanya selepas merasmikan Program Gerak Rahmah : Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Negeri Pahang 2025 yang berlangsung di Dataran Santuari Tanjung Gahai, di sini hari ini.
Tambahnya, pembinaan R&R terbabit bagi menyelesaikan isu ketiadaan tempat untuk membuang sampah dan berhenti rehat bagi pengguna yang menggunakan lebuh raya berkenaan.
“Sudah tentu (pertemuan) saya membawa perkara-perkara yang perlu bantuan sokongan beterusan daripada YAB. Perdana Menteri.
“Antaranya ialah R&R yang mana menjadi isu kepada mereka yang pulang ke kampung masing-masing ke Kelantan contohnya… di mana tidak ada tempat untuk mereka membuang kain lampin kanak-kanak dan juga untuk berhenti berehat dan sebagainya.
“Dan Alhamdulillah saya mendapat respon yang sangat positif dari YAB Perdana Menteri dan juga lain-lain perkara yang perlu bantuan dan sokongan daripada kerajaan persekutuan,” ujarnya selepas diminta mengulas tentang pertemuan dan perbincangan delegasi Kerajaan Negeri Pahang yang bersama YAB. Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang diadakan di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya sebelum ini.
Beliau dalam pada itu memaklumkan kejadian banjir kilat yang berlaku di Pos Sinderut, di sini, sekitar jam 9 malam tadi berpunca dari kejadian kepala air.
“Semua bantuan dan jentera telah digerakkan dan terima kasih kepada pengerusi PKOB (Pusat Kawalan Operasi Bencana) yang dipengerusikan pegawai daerah kerana bantuan dari segi makanan, logistik, peralatan semua telah digerakkan. Setakat ini tidak ada kejadian melibatkan mangsa, Alhamdulillah,” katanya.
Mengikut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Lipis, kejadian banjir kilat yang berlaku di Pos Sinderut berkenaan melibatkan dua buah kampung iaitu Kampung Orang Asli Tidul dan Kampung Orang Asli Tual di mana setakat jam 11 pagi tadi, jumlah rumah dan penduduk yang terjejas masih dalam siasatan. -PAHANGMEDIA

