Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
SEREMBAN, 07 MAC 2025 : “Saya rasa inilah bantuan yang paling bermakna,” luah penyanyi popular pada era 1980-an Sheqal atau Shahrin Salehuddin ketika ditemui di kediamannya.
Sheqal, 60, menyifatkan kunjungan secara peribadi Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Raub ini memberi semangat kepada dirinya yang kini berkerusi roda.
“Saya rasa inilah satu-satunya benda yang sangat memberi semangat kepada saya. Maklumlah orang sakit, perlukan semangat.
“Dan bantuan ini bukan hanya sekadar duit, tapi ia bantuan semangat daripada Kerajaan Negeri Pahang terutamnya Menteri Besar Pahang, dan YB. Fadzli sebab masih ingat kepada saya,” katanya yang mengalami empat episod serangan angin ahmar selain masalah buah pinggang tahap empat.
Ketika ditemui penyanyi yang dikenali dengan lagu Cinta Nusantara ini kini aktif menghasilkan karya dalam bentuk buku hasil tulisannya yang bertemakan agama dan seni.
Sheqal ketika ditemui turut melahirkan harapan untuk kembali ke kampung halamannya di Kampung Tanjung Putus, Raub memandangkan kediaman yang dihuni sekarang merupakan rumah sewa sahaja.
Sementara itu, menurut YB. Tuan Fadzli, kunjungan ini adalah tanda keperihatinan Kerajaan Negeri Pahang kepada nasib anak Pahang yang berada di luar Pahang.
Kerajaan Negeri Pahang telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Sheqal sebagai menampung keperluan dan perubatan penyanyi berkenaan.
Turut hadir, Pegawai Sekretariat Perantau Anak Pahang, Encik Syed Anas Dato’ Sri Syed Ali ketika melawat Sheqal di Tuanku Jaafar Golf & Country Resort, Sungai Gadut, Seremban. -PAHANGMEDIA

