Oleh : Safiah Hanani Norhalizan
KUANTAN, 24 FEBRUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang komited dalam mempertingkatkan infrastruktur pelancongan di setiap daerah bagi memastikan penyediaan yang lebih baik.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man berkata, sebanyak RM5 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri melalui belanjawan YAB Menteri Besar bagi pelaksanaan projek-projek infrastruktur pelancongan.
“Kita ada RM3 juta untuk infra dan fasiliti pelancongan kawasan di pelancongan dan kita juga ada RM2 juta untuk kajian dan pembangunan Maran-Chini Geopark, Galeri Lipis Geopark, dan penguatkuasaan di Taman Negeri Pahang
“Dan tourism Pahang, kita juga telah meneliti dan menetapkan senarai destinasi-destinasi pelancongan yang akan terlibat bagi pembangunan projek-projek infrastruktur,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa Negeri Pahang telah mencapai sasaran kedatangan pelancong dengan jumlah sebanyak 13.74 juta orang dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM12.35 billion telah dibelanjakan di negeri ini pada tahun lalu.
“Jumlah ini adalah in-house statistik Kerajaan Negeri Pahang, dimana kita kutip data-data secara manual daripada semua hotel-hotel ataupun kemudahan penginapan yang berdaftar dengan Kerajaan di seluruh negeri Pahang
“Untuk top 4 destinasi yang menerima paling ramai pengunjung yang bermalam, yang pertama Genting Highlands, yang kedua Kuantan, yang ketiga Cameron Highlands, yang keempat Temerloh,” katanya ketika sidang media perancangan Tourism Pahang di Sri Manja Hotel, di sini hari ini.
Hadir sama Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim.
Dalam pada itu YB Puan Leong Yu Man berkata, bagi meningkatkan lagi kehadiran pelancong ke Negeri Pahang baik domestik mahupun antarabangsa, sebanyak 35 acara telah tersedia di dalam kalendar tahun ini dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa. -PAHANGMEDIA

